Masa depan kerjasama politik Islam – Melayu

MEMORI semalam

Advertisement

●     Perhimpunan aman semalam berlangsung dengan jayanya. Seperti biasa, media akan melaporkan anggaran kehadiran. Bagi kerajaan yang sudah memiliki rekod salah kira hutang dan salah titik perpuluhan, tentunya laporan bilangan dari media pro-kerajaan sangat meragukan. 

Namun pengalaman sendiri berada dalam lautan manusia itu, himpunan kali ini adalah lebih besar daripada Bersih 3, himpunan terbesar pernah saya hadiri.

●     Kredit selayaknya diberikan kepada penganjur program semalam, NGO Ummah. Namun tidak dapat dinafikan, anggota PAS menyumbang tenaga yang tidak kurang besar bagi menjayakan program ini. Barisan jawatankuasa penganjur, pengendali himpunan, penguasaan pentas utama, termasuklah pasukan Jabatan Amal dan Briged Muslimat yang menggalas berbagai peranan, mereka adalah anggota PAS walaupun tidak memakai topi parti.

●     Apa yang menarik, saya dapat rasakan ramai yang turun kali ini adalah mereka yang belum pernah bersama himpunan jalanan sebelum ini. Dari segi penampilan, percakapan dan chemistry, dapat dikesan bahawa kebanyakan yang hadir bukan ahli atau penyokong PAS. Tanpa menafikan kehadiran ahli PAS yang tinggi, namun dek kerana ramainya yang berhimpun, ahli PAS tidak mendominasi jumlah peserta.

●     Himpunan semalam bukan atas agenda kepartian, sebaliknya atas agenda agama, bangsa dan negara. Saya yakin penyumbang penyertaan terbesar adalah dari parti PAS dan Umno. Namun anggota kedua parti ini menunjukkan sikap matang dengan tidak membawa bendera atau lambang parti. Ada pihak yang cuba mengangkat bendera parti dan kumpulan tertentu, tetapi ramai peserta lain menegur untuk menurunkannya kembali.

Itulah yang sebaiknya. Supaya penganjuran program ini dilihat murni tanpa agenda mengangkat kepentingan sempit mana-mana pihak. Agar tidak menjadi sebab kesatuan ummah ini tergendala dengan sengketa lama atau persepsi buruk.

●    Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan ucapan Pengerusi NGO Ummah. Beliau merayu kepada PAS dan Umno supaya benar-benar menjalinkan kerjasama kerana dua parti inilah yang menaungi majoriti Islam dan Melayu di negara ini. Dengan kerjasama strategik antara dua parti ini sahajalah kunci kesepakatan Islam Melayu yang boleh menyelamatkan kedudukan agama dan bangsa ini.

●    Sebaik laungan berbaur kerjasama antara PAS-Umno bergema dari pentas utama, hampir semua peserta menyambut dengan takbir dan sorakan, tanda bersetuju. Ini bermaksud aspirasi kerjasama ini tidak hanya disarankan oleh pimpinan NGO, malah daripada akar umbi orang Islam Melayu, termasuklah dari dua parti terbesar ini juga. Seolah semua mula memahami, perjuangan demi agama dan negara tidak akan ke mana tanpa kuasa politik.

Kerjasama antara teori dan realiti

●     Teori kerjasama PAS-Umno sangat indah. Orang Islam membentuk majoriti hampir 70 peratus di Malaysia. Jika kesemuanya berpadu, kuasa politik akan kembali ke tangan kita. 

Walau bagaimanapun, kita harus berpijak di bumi nyata. Realitinya, gabungan ini tidak seindah yang disangka. Ada orang Islam yang sayangkan Islam, cintakan bangsa, benci DAP dan konco-konconya, tetapi tidak boleh menerima kerjasama ini.

●     Sifir kerjasama ini mudah. Golongan yang benci kepada DAP dan mahukan kesatuan Islam-Melayu secara asasnya bersetuju bahawa kerjasama dua parti politik ini adalah keperluan mendesak. Tetapi bila tiba kepada perbahasan watak dan perilaku Umno, golongan ini mula menarik brek. Kebencian terhadap Umno melebihi rasa keperluan kesatuan Islam-Melayu.

Terus terang saya katakan, PRU14 yang lalu, masalah utama yang kami hadapi bagi meraih sokongan adalah kerana dipalitkan dengan imej Umno. Walaupun bermacam penerangan sudah diberikan, fitnah PH tidak dapat disangkal. Agak pelik tapi benar, orang menolak PAS kerana benci Umno. PAS menghadapi PRU14 keadaan sukar antara dua paradoks; mengoptimumkan sokongan Islam-Melayu dan mengelak imej buruk Umno memburukkan PAS.

●     PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson patut dijadikan pedoman. Walaupun kerjasama mewujudkan pertandingan 1 lawan 1 telah digunakan, namun angka undian yang disasarkan tidak berjaya dicapai. Membuktikan terdapat penyokong PAS dan Umno yang tidak mahu mengundi parti yang tidak disokongnya. 

Tetapi jika disoroti lebih terperinci, penolakan terhadap Umno lebih besar daripada PAS. Boleh dibandingkan melalui laporan keputusan PRK antara Sungai Kandis dan Seri Setia.

●     Tanpa menafikan kekuatan Umno yang masih mengungguli carta parti paling tinggi jumlah kerusi di Malaysia iaitu 54, dan kekuatan akar umbi teramai mencecah 3 juta orang, namun angka tersebut masih belum cukup untuk mencapai tampuk kekuasaan. Masalah berlaku apabila bagasi korupsi yang mereka bawa sejak memerintah negara ini sudah terlalu berat dan tidak dapat diterima lagi hatta oleh orang Islam dan Melayu yang turut menolak DAP.

Formula reformasi

●     Bagi memastikan sokongan Islam Melayu mencapai tahap maksimum, Umno perlu membuang wajah lama mereka. Turunkan mereka yang banyak terpalit dengan salah laku, naikkan muka baru yang lebih bersih dan berintegriti. Mereka perlu lakukan bukan sahaja di peringkat nasional, malah hingga ke akar cawangan. 

Pandangan peribadi saya, perkara tersebut adalah sukar untuk direalisasikan. Perlukan masa yang panjang, bermula dari memberikan kesedaran kepada semua anggota untuk berubah. Kembalikan semangat perjuangan asli yang tidak bertunjangkan matlamat materialistik.

●     Saya faham kritikan ini sangat sukar untuk ditelan oleh orang Umno. Tapi untuk kekal relevan, mereka harus terhenti dari lamunan dan menerima kenyataan. Banyak perkara mereka perlu perbaiki. Saya amat menyokong tindakan KJ yang berani mengkritik kemungkaran Umno terang-terangan.

●     Mungkin ada di kalangan orang PAS juga turut tidak senang dengan tulisan mengkritik Umno ini. Bagi mereka ia boleh merencatkan usaha merapatkan jurang antara kita. Namun perlu disedari bahawa dalam Umno sendiri ramai yang sedang memberontak mahukan perubahan. Pemuda Umno terutamanya sedar kesilapan kepimpinan mereka selama ini, dan mungkin sudah wujud usaha reform dari dalam sekarang.

Sekiranya KJ dan beberapa pimpinan Umno boleh mengkritik parti mereka secara profesional dan terbuka, mengapa pula kita yang tidak Umno perlu lebih apologetik? Kritikan ini adalah kritikan membina, bukan kritikan meruntuh. Kritikan ini adalah satu bentuk sokongan kepada anggota Umno yang sedang menjalankan proses reformasi.

Imej PAS sebagai modal

●     Di samping itu, fenomena semasa memperlihatkan orang Islam Melayu lebih selesa melihat perpaduan ini dipimpin oleh PAS. Prestasi PRK dan himpunan semalam adalah petunjuk yang baik untuk memahami fenomena ini. Oleh itu, saya fikirkan sudah tiba masanya untuk Umno memberikan laluan kepada PAS untuk berada di hadapan memimpin kerjasama ini. Biar orang nampak PAS lebih dominan dan independent tanpa dipengaruhi bagasi-bagasi Umno.

●     Mungkin faktor penolakan Umno adalah sejarah lalu kepimpinan mereka yang membuatkan orang masih fobia. Apabila mereka memerintah, mereka terlalu angkuh sehingga setiap yang tidak setuju akan dikerat dan disekat dari berbagai sudut. Bukan sahaja orang PAS, malah non-partisan hatta ahli Umno sendiri yang cuba menentang kemungkaran mereka akan dianiayai.

●    Berbeza dengan PAS, apabila berkuasa mereka menunjukkan contoh politik kasih sayang dan BPMS. Anda boleh lihat sendiri bagaimana hubungan kepimpinan PAS dan Umno di Terengganu kini. Persidangan DUN berlangsung dalam suasana penuh mahabbah dan gurauan, sehingga boleh turun untuk main bowling bersama. Suasana yang jauh berbeza di bawah kepimpinan negeri sebelum ini. Tidak berlaku pecat memecat atau hukum-menghukum sebagaimana yang PH lakukan hari ini.

Bak kata Tok Guru Nik Aziz, Islam berdaulat, Melayu selamat. Melayu berdaulat, belum tentu Melayu dan Islam selamat.

●     Tidak dinafikan PAS masih memiliki serba serbi kelemahan. Ianya lumrah makhluk. Tetapi buat masa ini, PAS adalah parti paling sesuai yang ada. Dengan memegang rekod paling bersih dari segi korupsi, keutuhan berpegang kepada dasar perjuangan dan kekuatan ahli yang taat setia telah teruji dan terbukti. Alangkah baik jika ia dijadikan modal utama bagi menggembeling sokongan maksimum kepada kerjasama ini. Kelebihan yang Umno miliki dari sudut pengalaman mentadbir, jumlah ahli yang ramai dan dana yang besar boleh digunakan bagi menguatkan lagi kerjasama ini.

●    Usah terlalu bimbang mengenai perkongsian kuasa sekiranya menang nanti. PAS mengamalkan prinsip BPMS dan memperkenalkan model Kerajaan Teknokrat. Kepimpinan ditentukan berasaskan intelektualiti, integriti dan kompetensi tanpa mengira latar belakang. Sekiranya anggota Umno memiliki kriteria yang diperlukan bagi sesuatu jawatan, maka tidak menjadi masalah untuk mereka mengelolakannya. 

Salah satu kriteria BPMS adalah politik mengutamakan rakyat. Falsafahnya, jika sesuatu perkara itu baik bagi rakyat, ia akan dilakukan walaupun PAS tidak mendapat apa-apa keuntungan politik. PAS buktikan dalam PRU13 lalu apabila memilih Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai MB, walaupun PAS memiliki jumlah kerusi lebih besar dari PKR. Kerana TSKI telah terbukti mampu memimpin Selangor dengan baik.

●    Sebagai pengakhiran, saya amat mengharapkan kesatuan Islam dan Melayu kembali berlaku. Namun pelaksanaannya haruslah realistik dengan dapatan semasa dan strategik dengan langkah yang tepat. Perbincangan antara pemimpin utama semua pihak haruslah didasari dengan keikhlasan demi agama, negara dan bangsa, bukan untuk kepentingan partisan atau peribadi. Politik adalah wasilah untuk menegakkan Islam, bukan bidang kerjaya bagi mencapai cita-cita peribadi.

1 Rabiul Akhir 1440
9 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 9/12/2018