Pilihan Raya PBT: Ketegasan PM dihargai

SAYA membaca laporan Malaysiakini terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berhubung Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana beliau dilaporkan berkata bahawa Pilihan Raya PBT tidak akan diadakan di negara ini.

Advertisement

Ia adalah kerana menurut beliau, Pilihan Raya PBT akan menyebabkan konflik yang mungkin menyebabkan perbezaan kaum dan sebagainya. Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

Saya sangat menghargai pendirian Perdana Menteri ini. Ia bukanlah merupakan kali pertama beliau menyatakan pendirian tersebut bahkan ia pernah disebut dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Oktober lepas.

Pada 31 Oktober yang lalu, saya bangun bertanya kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berhubung cadangan mengadakan pilihan raya tersebut di Dewan Rakyat. Pada masa itu, beliau sendiri tidak memberikan jawapan yang jelas dan terang sekalipun Perdana Menteri telah menyatakan pendiriannya.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan ini sekalipun dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan, ia tidak boleh dilaksanakan pada masa ini berdasarkan komposisi yang tidak seimbang dari aspek kependudukan. Benar kata Perdana Menteri, jika ia dilaksanakan, banyak konflik yang akan timbul. Lagipun, manifesto bukannya kitab suci (sekurang-kurangnya dalam kes ini).

Justeru, kenyataan Perdana Menteri ini biarlah menutup mulut semua pihak. Tidak perlu lagi mana-mana pihak membangkitkan cadangan ini lagi. Kita tidak mahu dengar mana-mana pihak membuat kenyataan mengelirukan seperti contoh, “kami sokong Pilihan Raya PBT namun akur dengan keputusan kerajaan…” Kenyataan seperti ini pun tidak perlu untuk dikeluarkan.

Sekalung terima kasih untuk Perdana Menteri.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
10 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 10/12/2018