Tekad laksana amanah – Senator Nuridah

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh selesai melafazkan ikrar sumpah sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu membawa gelaran Senator.

Advertisement

“Saya Nuridah Mohd Salleh Setelah dipilih sebagai seorang Ahli Dewan Negara, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaan,” katanya semasa majlis angkat sumpah di Dewan Negara hari ini.

Dengan penuh azam, beliau menyatakan kesungguhan untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya.

Beliau juga mengharapkan sokongan dan dukungan khusus daripada Kerajaan Terengganu dan PAS.

Menjawab soalan wartawan di lobi Parlimen, Ustazah Nuridah menyatakan akan membawa isu-isu kemasyarakatan yang menyentuh rakyat Terengganu dalam sidang Dewan Negara selain sebagai ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, isu-isu kewanitaan juga akan menjadi keutamaannya. – HARAKAHDAILY 10/12/2018