Ustazah Nuridah angkat sumpah Senator

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara.

Advertisement

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran di Dewan Negara jam 10 pagi tadi bagi tempoh tiga tahun.

Ketika ditemui di luar Dewan Negara, beliau memaklumkan akan membawa isu-isu rakyat khususnya isu negeri Terengganu kerana itu adalah agenda utamanya.

“Sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, sudah tentu isu-isu wanita yang akan saya utarakan di Dewan Negara,” katanya.

Pada 29 November lalu, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu telah meluluskan pemilihan beliau sebagai calon wanita untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menerusi undian sebulat suara sebagai Senator selama tiga tahun.

Beliau menggantikan Engku Naemah Engku Taib yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara pada 5 November lalu. – HARAKAHDAILY 10/12/2018