PBT: Kerajaan PH tidak sehaluan?

PENEGASAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Majlis Tempatan (PBT) menunjukkan pendiriannya yang jelas dalam isu tersebut. Ia sekali gus menjadi peringatan kepada anggota Pakatan PH yang lain terhadap sikap pecah perintah selama ini supaya menghormati dan menyokong kenyataan Tun itu.

Advertisement

Bermakna, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad untuk tetap diadakan, perlu dibatal dari diteruskan. Begitu juga hasrat DAP menerusi Konvensyen DAP Selangor kelmarin, mestilah ia dihentikan sama sekali dari sikapnya yang dilihat suka mendesak.

Sungguhpun mereka berhujah ianya atas proses demokrasi, hakikatnya Pilihan Raya PBT hanya meluaskan lagi konflik yang kini ibarat ‘api dalam sekam’. Apatah lagi sejak era PH ini ramai pihak yang ghairah memuncakkan isu sensitif berbau perkauman. Ketegangan yang sedang memicu harus diredakan, bukan terus dipanaskan lagi.

PAS sejak dahulu kekal dengan pendirian sama seperti telah dinyatakan Tun. Kerana PAS menyedari Pilihan Raya PBT cenderung melebarkan lagi jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar. Paling dibimbangi ia akan memberi kesan negatif kepada hubungan kaum dan motif penguasaan tidak seimbang pihak tertentu.

Populasi penempatan kaum yang ketara tidak seimbang kerana mewarisi jalur pecah perintah peninggalan penjajah hanya akan semakin parah jika Pilihan Raya PBT diadakan. Sikap degil dan berkeras pihak tertentu untuk tetap mengadakannya telah menerbitkan kesangsian terhadap isu keadilan dan kesaksamaan yang diperjuangkan.

Mereka seharusnya mengambil iktibar dan menyedari betapa rakyat tidak akan terpedaya lagi oleh retorik dan motif terselindung yang PH naratifkan. Bukti ketidakseimbangan dalam pelaksanaan itu terlihat pada agihan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Taiping. Seramai 14 berbangsa Cina sedang Melayu dan India masing-masing tujuh dan dua.

Sedangkan, populasi kaum terdiri dari 62 peratus Melayu dan 26 peratus Cina dengan bakinya pula adalah kaum India. Ini menunjukkan, Kerajaan PH telah gagal menyusun komposisi ini secara holistik, walhal ia sangat mempengaruhi aspek perpaduan kaum yang melatari negara ini. Kerana PH lebih terdorong oleh menguasai untuk kepentingan dan dendam.

Perlu dilihat serius, kedudukan di Kerajaan Tempatan turut melibatkan aspek kewangan dengan autonomi dan pendapatan sendiri. Hatta, Majlis Daerah pun masih jauh ketinggalan berbanding Majlis Bandaraya. Demikian itu, ketidakseimbangan sedia ada hanya akan lebih mencengkam dengan ‘dominasi’ kaum yang bakal wujud kesan dari Pilihan Raya PBT.

Kerana itu, kepentingan utama adalah mewujudkan penyelarasan dan kawalan hingga dapat merealisasikan hakikat keadilan dan kesaksamaan yang dilaungkan. Paling penting juga, semua pihak sedar dan faham bahawa demokrasi tidak semestinya berpaksi kepada pilihan raya, tetapi objektifnya untuk mencapai keadilan.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/12/2018