‘Two-state Solution’ Palestin – Israel harapan palsu

KUALA LUMPUR: Penyelesaian dua negara (two-state solution) terhadap konflik panjang Palestin – Israel yang turut disambut Wisma Putra adalah pendirian lemah dan harapan palsu ke arah keamanan sebenar di bumi tersebut.

Advertisement

Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, deretan pencabulan, siri-siri keganasan, serangan bertali arus dan tindakan unilateral Zionis Israel hanya akan selesai dengan terbentuk kembali negara Palestin yang berdaulat.

Sebaliknya menurut beliau, penyelesaian dua negara hanya sebagai jalan pintas ke arah mengiktiraf Israel yang telah merampas dan menjarah Palestin sejak puluhan tahun, selain pasti mengundang konflik lebih panjang dan parah.

Bahkan tegasnya, jika dibenarkan ianya juga pengiktirafan terhadap penjajahan di mana bererti mana-mana kuasa besar berhak meluaskan kekuasaan negaranya melalui rampasan terhadap kedaulatan negara yang lemah.

“Penyelesaian haruslah dihalakan kepada pengiktirafan terhadap satu negara Palestin berdaulat yang mengandungi masyarakat majmuk dan hidup saling menghormati.

“Dengan demikian mengembalikan hak rakyat Palestin tanpa menghilangkan hak semua untuk memiliki kerakyatan negara Palestin,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong hak mutlak rakyat Palestin ke atas penubuhan negara yang bebas dan berdaulat berdasarkan penubuhan dua negara.

“‘Two-state solution’, Palestin dan Israel yang wujud secara sebelah menyebelah dengan aman berdasarkan kepada sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis ataupun East Jerusalem sebagai ibu negara Palestin,” ujarnya di Parlimen minggu lalu. – HARAKAHDAILY 12/12/2018