Belum terima nama 5 ahli MPKK Pusat

KOTA BHARU: Lima ahli baharu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang akan dilantik mewakili kerajaan pusat di setiap mukim diharap membantu kerajaan negeri menangani masaalah rakyat.

Advertisement

Pengarah Majlis Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak berkata, pelantikan lima ahli MPKK baru tersebut di setiap mukim belum dilakukan.

Katanya, sehingga sekarang kerajaan negeri belum menerima senarai nama yang akan mewakili kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana menteri akan menerima senarai nama-nama berkenaan sebelum 20 Disember ini.

“Sekarang dalam proses pemilihan nama-nama yang dikira sesuai sebelum diangkat kepada menteri,” katanya selepas Taklimat Khas Pelaksanaan Pengemaskinian Organisasi Majlis Penghulu Mukim (MPM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Penghulu Parlimen (MPP) 2019 di Pengkalan Chepa semalam.

Program berkenaan di Dewan Teratai itu dirasmi anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 12/12/2018