Ke mana Tuan Guru Presiden akan bawa PAS?

KUALA LUMPUR: Perjuangan PAS adalah kesinambungan daripada Nabi Muhammad S.A.W yang berasas kepada al-Quran, berlandaskan perkara yang tetap dengan tidak berubah yakni dasar, ataupun mengalami perubahan mengikut zaman, situasi atau realiti keadaan.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tonggak PAS ialah Perlembagaan PAS itu sendiri menetapkan bahawa hukum tertingginya adalah Quran, Hadis, ijmak ulamak, dan qiyas.

Penegasan tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media tersebut di Shah Alam, sebentar tadi.

Ianya sebagai menjawab soalan moderator, Tan Sri Johan Jaaffar yang menyoal Ahli Parlimen Marang itu berkenaan arah tuju beliau akan bawa PAS selaku peneraju ketika ini.

“Bagi memelihara tonggak ini, PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak, kerana tidak mungkin kita mempunyai ketokohan seperti Nabi, ketokohan seperti para Khulafa’. Tetapi boleh dibentuk secara kolektif.

“Kumpulan ulamak yang berpengalaman dalam aspek-aspek Islam ini, digabungkan secara kolektif untuk memelihara dasar dan matlamat PAS. PAS mempunyai pimpinan Pusat yang dipilih oleh muktamar.

“Dan PAS juga mempunyai Lajnah Politik yang mengkaji situasi politik semasa, Lajnah Ekonomi, mempunyai Pusat Penyelidikan yang sentiasa mengkaji perkembangan yang berlaku setiap masa, sama ada di peringkat nasional ataupun global.

“Berdasarkan kepada aspek-aspek yang ada ini, alhamdulillah kita dapat melangsungkan perjuangan kita sejak ditubuhkan sehingga hari ini,” terangnya.

Jelas beliau, usaha PAS itu dilaksanakan dengan menambahkan pengikut-pengikut yang makin ramai di mana ia tidak boleh diukur dengan kerusi pilihan raya sahaja.

Seru beliau umat Islam wajib percaya Quran adalah mukjizat ilmu yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat dan tidak mati dengan wafatnya Nabi Muhammad S.A.W kerana ilmu Allah tetap dipelihara.

“Ini keyakinan yang ada dalam diri kita. Dan ini menjadi satu kenyataan yang kita hayati dalam perjuangan PAS ini, sehingga kita sanggup menghadapi setiap perkara yang mencabar di keliling kita dan di hadapan kita,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2018