Kejayaan Islam dibendung Barat dari terus bersinar

KUALA LUMPUR: Model pemerintahan Islam yang berlangsung dari zaman Nabi, Khulafa’ ar-Rasyidin, Umar Abdul Aziz selama lebih 1,300 tahun masih mengalami perkembangan matang selaras ilmu Islam dan semasa, tanpa hanyut dan sesat.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia berbeza dari negara Komunis yang diimpikan Karl Marx dan Lenin, serta negara Liberal Kapitalis oleh Adam Smith serta lainnya yang tidak wujud lagi sebagai model hari ini.

Perkara tersebut dibentangkannya ketika program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media tersebut di Shah Alam, sebentar tadi.

Bahkan menurutnya, model Islam tidak hanya di Madinah, tetapi dapat menguasai tiga benua yakni Asia, Afrika dan Selatan Eropah menerusi pengembangan ilmu Islam oleh para ulamak.

“Sehinggalah datang penjajah. Penjajah telah menghapuskan negara umat Islam ini. Malangnya hasad dengki yang ada pada penjajah ini, mereka lupa jasa orang Islam kepada Tamadun Barat. Mereka menghalang Islam ini bangkit semula.

“Ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan pemikir-pemikir Barat seperti Huntington, Henry Kissinger dan lain-lain yang masih menganggap dendam terhadap Islam walaupun tak ada kuasa besar. Mereka tak beri Islam berkuasa kembali.

“Kita saksikan bagaimana kemenangan parti Islam di Algeria, baru pilihan raya Majlis Perbandaran, setelah menang 70 peratus, dikudetakan. Kemenangan kumpulan Islam di Mesir, tak diberi peluang, digulingkan.

“Kita sedar, di sana ada agenda-agenda asing yang tak mahu memberi tempat. Termasuk di Indonesia, contohnya Masyumi yang pernah memerintah Indonesia. Setahun sahaja, dilingkupkan kerajaan ini, tak diberi peluang.

“Mengapa mereka sangat iri hati dengan Islam? Sepatutnya diberi peluang. Kepada mereka, demokrasi untuk mereka, bukan untuk Islam,” hujahnya membidas prejudis dunia terhadap Islam. – HARAKAHDAILY 12/12/2018