Apakah Tun M tidak pernah buat silap?

POLEMIK ditimbulkan oleh Tun M dalam satu kenyataannya. Apa yang menarik, apabila diserang, beliau relaks sahaja. Sebaliknya ramai pula yang menjawab bagi pihak beliau. Sampai agamawan pun tumpang sama. Ada yang kata memang malaikat buat silap, ada yang kata itu perumpaan Inggeris sahaja. Dengan erti kata lain, tidak kira malaikat silap atau tidak, yang penting apa Tun M cakap tidak sesekali silap. Seolah lebih suci dari malaikat walaupun dulu mereka sendiri menggelarnya Maha Firaun.

Advertisement

Kesal dengan sebilangan agamawan. Apabila Tun M menggunakan perumpaan Inggeris, ramai sahaja mudah faham walaupun bahasa itu agak asing dari bahasa ibunda dan bahasa al-Quran. Tetapi bila Tuan Guru Abdul Hadi guna perumpaan Melayu dan Arab, mereka susah untuk faham dan terus menghentam beliau tanpa bertabayyun. Kenapa double standard ini berlaku? Adakah kerana Tun M boleh tawarkan kesenangan dunia dan tidak Tuan Guru?

Juak Tun M menghina golongan yang tidak faham perumpaan Inggeris sebagai kolot dan ketinggalan. Seolah Inggeris itu satu kehebatan dan tanpanya kita tiada nilai. Tanpa menafikan kepentingan English Education, tetapi reaksi juak Tun itu menggambarkan minda bangsa terjajah. Terlalu berbangga dengan bahasa penjajah. Membenarkan teori Syed Hussein Al-Attas mengenai Intelectual Imperialism di dalam bukunya The Myth of Lazy Native.

Menariknya, buku tersebut menjawab kritikan Tun M terhadap Melayu lewat bukunya The Malay Dilemma. Buku yang sarat dengan kecaman negatif terhadap bangsa Melayu. Sesuatu yang konsisten dilakukan oleh beliau hingga ke hari ini. Kesannya boleh kita lihat hari ini, anak muda Melayu menjadi malu mengaku Melayu malah malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi berbangga dengan bahasa asing.

Kenapa perlu berbahasa Inggeris dalam negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Tun M sebagai PM sepatutnya menunjukkan contoh patriotik mendukung aspirasi Perlembagaan itu. Pedulikan soalan dalam bahasa Inggeris. Biar mereka yang bersusah terjemah pula bahasa Melayu jika mahu buat laporan berita dalam bahasa Inggeris. Lihat negara-negara maju lain seperti Japan, Germany, France. Mereka kekalkan bahasa ibunda walau di mana jua berada.

Perumpamaan sesuatu bahasa berkait rapat dengan kepercayaan dan budaya sesuatu bangsa. Sebagai Muslim, kita perlu cermat dalam menggunakan bahasa lain supaya tidak berkonflik dengan kepercayaan dan budaya sendiri. Bukan semua perumpaan Inggeris sesuai dengan orang Islam.

Sebagai contoh, cross the finger adalah perumpaan Inggeris bermaksud berdoa. Namun cara kita berdoa bukanlah dengan cara menyilangkan jari sebagaimana kepercayaan Kristian. Maka perumpaan itu tidak sesuai digunakan oleh Muslim. Samalah halnya dengan isu angel yang melibatkan akidah umat Islam ini.

Jangan lupa isu sebenar yang menyebabkan timbul polemik ini. Tun M sebenarnya cuba beralasan apabila wartawan bertanya kenapa kerajaan dilihat banyak kali u-turn terutama mengenai janji pilihan raya. Jelas membuktikan Tun M mengaku memang mereka tidak menepati janji. Isu ini sepatutnya disensasikan kerana melibatkan kepentingan rakyat. Jangan tenggelam dengan polemik picisan. Biar rakyat sentiasa sedar negara sedang dipimpin oleh barisan pemimpin penipu.

4 Rabiul Akhir 1440
12 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 12/12/2018