Perkauman yang dibenar oleh Islam dalam politik

KUALA LUMPUR: Usaha untuk meratifikasi ICERD telah diangkat Kerajaan PH secara tidak munasabah apabila ditugaskan perkara itu kepada Menteri beragama Hindu dan memegang portfolio perpaduan.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui beliau tersentuh dengan perkara itu kerana melihat adanya permainan politik dan penerimaan ICERD akan menyamai sejarah Perjanjian Pangkor.

Penegasan itu diungkapkannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media itu di Shah Alam, sebentar tadi.

“Kita terima perjanjian-perjanjian di negeri-negeri Tanah Melayu di atas nama yang baik, tetapi (tidak) untuk memberi ruang campur tangan dan mengubah hal-hal yang lain,” jelasnya.

Tuan Guru turut membetulkan salah faham mengenai kebanyakan negara umat Islam menerima ICERD, sedangkan hakikat sebenar negara berkenaan tidak menghayati Islam sepenuhnya.

Terang beliau, pemerintahan negara-negara tersebut berlaku secara sama ada kediktatoran atau pemerintahan tentera atau monarki atau tidak mengadakan pilihan raya langsung yang berbeza dari Malaysia.

Bekas Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia itu juga menjelaskan betapa dalam merealisasikan politik, Rasulullah sendiri menyebut bahawa pemimpin mesti dipilih daripada kaum Quraisy.

Beliau memahamkan dengan perincian bahawa Quraisy mewakili kaum dominan bangsa Arab di Tanah Arab ketika itu di mana mestilah kaum paling dominan menguasai pemerintahan semasa dan setempat.

“Untuk menguasai politik, mesti kaum yang dominan. Bila orang Arab Quraisy dominan, mereka menguasai. Bila Turki dominan, Turki menguasai pemerintahan Uthmaniyah. Ini berubah.

“Oleh kerana di Malaysia ini orang Melayu yang dominan, maka Melayu yang menguasai politik,” jelasnya menjawab soalan dibangkitkan moderator, Dato’ Johan Jaaffar.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengemukakan bahawa Islam dan negara ini memegang takrif dan definisi berbeza serta tersendiri berkaitan soal nisbah diskriminasi dan adil berbanding pegangan oleh pihak lain.

Namun terangnya, hingga semua itu menjadi kecintaan kepada kaum atau bangsa adalah perasaan yang sedia wujud dalam diri setiap manusia di mana Nabi menyuruh agar diseru kepada Islam.

“Semua Nabi-nabi mengajak kaum dia, tetapi Islam melarang kita fanatik kebangsaan. Ini dilarang oleh Islam. Dalam hal ini kita melihat bahawa kalangan yang ada tidak boleh mengawal antara akidah dan perasaan.

“Kita (orang Melayu di Malaysia) boleh kawal (fanatik sedemikian). Dengan sebab itu kita merasakan bahawa kita di sini lebih berakhlak, kerana sifat Islam masih ada kepada kita, berbanding di negara lain,” utaranya.

Beliau mengemukakan realiti kehidupan masyarakat Melayu yang boleh bersama dan menerima kaum Cina dan India di Kampung Melayu, bahkan hingga banyak keistimewaan Melayu dihapuskan orang Melayu masih ‘terima’.

Kerana itulah peringatnya, dengan segala telah berlaku menjadikan perlu keistimewaan orang Melayu dipertahankan, tetapi bukan dengan menzalimi kaum lain, sebaliknya mesti bertanggungjawab untuk adil.  

Pun demikian, beliau tetap berharap dalam isu ICERD dan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) yang berbangkit mutakhir ini ianya dapat dinoktahkan dengan pertemuan dan perbincangan bersama pihak berkaitan. – HARAKAHDAILY 12/12/2018