‘Takfir’: Fenomena umat, bukan diadakan oleh PAS

KUALA LUMPUR: Kafir mengkafir bukanlah isu diadakan PAS atau oleh pemimpinnya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di mana selama ini dikaitkan dengan tuduhan tersebut kerana ucapan popular beliau yang dilabel ‘Amanat Haji Hadi’.

Advertisement

Sebaliknya jelas beliau, isu tersebut telah berlaku sejak tahun 1960-an dari ketegangan dalam masyarakat Islam yang mahu melaksanakan Islam dan akibat kejahilan orang Islam sendiri kerana terdapat kalangan menghina Islam.

Perkara tersebut dinafikannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media itu di Shah Alam, sebentar tadi.

“Mengikut hukum Islam, kita tidak boleh mengkafirkan orang Islam yang jahil. Tetapi orang Islam yang semangat ini, dia menghukum mereka yang jahil yang menghina hukum Islam. Berlaku pertembungan itu.

“Hasilnya, kita dapat selesaikan apabila selepas 13 Mei, PAS menyertai Kerajaan Campuran, kemudian menjadi BN. Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis jilid yang pertama, untuk menerangkan Batas-batas Iman dan Kufur, berlaku keredaan.

“Tetapi selepas PAS dikeluar daripada BN tahun 1979, tegang balik. Dan kita minta diadakan muzakarah. Jadi isu ini bukan isu saya mengadakan, ini sejak tahun 60-an. Tetapi akhirnya kita dapati reda.

“Almarhum Dato’ Asri meminta saya menulis buku Batas-batas Iman dan Kufur. Isu ini timbul di seluruh dunia Islam, bukan sahaja di Malaysia, termasuk di Indonesia, termasuk di negara Arab, disebut ‘Takfir’, mengkafirkan.

“Saya dapat meredakan orang PAS. Apa yang saya gembira, mereka yang paling lantang mengkafirkan Umno, masuk Umno. Habis masuk Umno. Jadi tinggal yang sederhana dalam PAS ini. Ini sangat mengembirakan saya,” terangnya.

Menurut Presiden PAS itu, betapa tidak adil beliau dihukum dengan mengambil ucapannya yang dipetik tidak sampai dua minit, sedangkan ucapan asal itu melebihi satu jam.

Seru beliau, pihak-pihak yang membuat tuduhan sepatutnya mendengar keseluruhan ucapan itu, namun beliau juga telah menulis buku ‘Amanat Haji Hadi’ di mana dicetak dan disebar umum, tetapi tiada pihak menjawab.

Malah jelasnya, hasil daripada itu pada tahun 1984, PAS mencadangkan muzakarah, malangnya Umno tidak bersedia, sebaliknya mereka mahu menganjurkan debat dan apabila PAS sanggupi, Majlis Raja-raja membatalkannya.

Tokoh ulamak itu juga menjelaskan, perpecahan dalam kalangan umat telah berlaku sejak zaman Nabi Adam A.S, namun penyelesaiannya adalah sepertimana seruan ayat 59 surah an-Nisa’ iaitu kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

“Perpecahan ini ada dua, yang pertama perpecahan yang tidak diizinkan. Perpecahan perkara dasar, prinsip, matlamat yang kukuh, ini tak diizin. Perpecahan perkara cabang, pendekatan, itu diizinkan. Kita boleh membezakan dua-dua ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2018