Undi 30 peratus generasi muda menangkan PH

KUALA LUMPUR: Ketidakmatangan politik orang Islam khususnya generasi muda kerana dikuasai minda oleh media sosial telah menyumbang kepada kemenangan PH, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Jelas beliau, PH mendapat 90 peratus undi daripada orang bukan Islam dan 30 peratus dari para pengundi generasi muda tersebut di mana kemenangan itu terbentuk tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, sebentar tadi.

“Di mana pemerintahnya 66 kerusi bukan Islam dan 58 orang Islam. (Sedangkan) Demografi penduduk 65 peratus orang Islam. Ini berlaku tidak seimbang.

“Menyebabkan Tun Perdana Menteri dalam keadaan yang agak tidak mudah untuk mengendalikan perkara ini,” terangnya.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak mempunyai kerjasama dengan Umno mahupun PH, sebaliknya mengambil jalan tengah dengan membentuk koalisi sendiri iaitu Gagasan Sejahtera menghimpunkan NGO dan parti politik.

Di mana dengan itu ujarnya, PAS mendapat undi popular sebanyak 18 peratus dengan kedudukan 18 daripada 222 kerusi Parlimen dan 90 daripada 500 kerusi Dun, selain memerintah dua negeri.

“Dan mendapat kerusi yang banyak juga di Pahang dan kita ada wakil di kebanyakan negeri, kecuali di Sabah, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan,” kemukanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2018