Kembalikan semula umat menuju kebangkitan Islam

KUALA LUMPUR: Kebangkitan Islam dapat dikembalikan semula dengan melaksanakan pembangunan roh, akal dan jasad manusia itu sendiri, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Bentangnya, menjadi hikmah yang besar Allah Taala memulakan Islam di Makkah, yakni negeri tanpa hasil ekonomi dan kering tiada air, tetapi dibangunkan aspek keinsanannya meliputi roh, akal dan jasad.

Malah terangnya, kebangkitan juga memerlukan kekuatan sendiri menerusi kesatuan umat Islam, selain mengamalkan demokrasi dengan makna yang sebenar-benar sebagaimana diterima dunia hari ini.

Perkara tersebut dikemukakannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media itu di Shah Alam, petang semalam.

Namun ujar beliau, terdapat beberapa faktor yang menjadi cabaran membelengu dan menyebabkan masalah serta tekanan hingga terhalang umat Islam melakukan perubahan secara bebas dan merdeka.

Jelas Tuan Guru, penjajah sejak zaman dahulu telah mewaris dan sengaja mewujudkan konflik dalam negara umat Islam kerana tidak mengizinkan memilih kerajaan sendiri secara demokratik.

Terang beliau, banyak negara tersebut mendukung kediktatoran dari kuasa-kuasa Barat yang mengambil kesempatan meraih peluang panjang melibatkan hasil bumi dan lainnya termasuk perniagaan senjata bagi mewujudkan peperangan.

“Kita kena sedar, negara Islam yang dibentuk hari ini adalah hasil dari percaturan kuasa-kuasa Barat melalui Perjanjian Sykes-Picot, Perjanjian Bangkok, Perjanjian Betawi; perjanjian untuk membahagikan negeri orang Islam sesama kuasa Barat.

“Ini percaturan mereka dan dalam masa sama, selepas Perang Dunia Kedua, mereka terpaksa memberi kemerdekaan yang juga diatur supaya berada dalam pengaruh mereka. Diwajibkan ada dalam Komanwel, kalau British.

“Kalau jajahan takluk Perancis, kawalan Perancis. Amerika, kawalan Amerika. Sepatutnya umat Islam boleh membebaskan diri dari belengu-belengu ini,” kemuka bekas Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia itu.

Mengajak muhasabah, umat Islam menurut Tuan Guru, bukan sahaja ada yang menjadi pelarian, tetapi juga hasil bumi dan tanah luas dikurniakan Allah, serta banyak tenaga manusia dan pakar dimiliki tidak dimanfaatkan.

Sebaliknya kata beliau, ramai pula yang berkhidmat di negara Barat dan bergantung kepada pihak lain, selain Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak berperanan dan berfungsi dengan sebenar-benarnya.

Begitu juga utaranya, demokrasi turut tidak berlaku secara benar dan sihat yang adapun sekadar pilihan raya, sedangkan demokrasi itu termasuklah media dan pemikiran rakyat di mana tidak bebas serta ditekan.

Kerana katanya, umat Islam sentiasa dilayan secara tidak adil sedangkan kuasa besar memperjuangkan hak-hak asasi manusia, selain orang Islam juga tidak diizin, dihalang dan disekat dari mencapai teknologi tinggi.

Tuan Guru turut menyelitkan renungan mengenai peristiwa perang ke atas Yaman yang diisytiharkan di Washington, tidak di Riyard dan selepas Perdana Menteri Israel melawat negara itu, menunjukkan wujud campur tangan asing.

Begitu juga susulnya, Arab Spring yang sepatutnya membuat perubahan positif, tetapi telah dipintas pihak lain hingga menimbulkan konflik bersenjata serta peperangan secara proksi menerusi biaya dari negara umat Islam sendiri.

“(Pun begitu) Kita telah berjaya mengembalikan semula kebangkitan Islam. Kesedaran Islam sudah bermula di pusat-pusat pengajian tinggi, termasuk di negara Barat. Kita saksikan Barat yang meracuni pemikiran orang Islam, menjauhkan dari agama, tiba-tiba kesedaran beragama berlaku bukan sahaja di negeri orang Islam, (tetapi) termasuk di Eropah.

“Bahkan di England, di Perancis, berlaku kebangkitan semula orang Islam. Malah, pemikir-pemikir Barat mengatakan, walaupun Islam tak ada kuasa besar mendukungnya, tetapi mempunyai ajaran kukuh, kuat serta diwarisi mereka yang boleh kembali semula menjadi satu umat.

“Kesedaran ini berlaku. Di negara Barat, kita saksikan mereka mengatur agenda melalui pendidikan, pusat pengajian tinggi, untuk mem-Baratkan, meng-Kristiankan orang Islam, (tetapi) gagal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/12/2018