Pelihara keluarga dari ancaman LGBT

AYER KEROH: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, gejala LGBT sangat membimbangkan.

Advertisement

Beliau memetik statistik dari pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada 2013 seramai 173,000 rakyat Malaysia telah terjebak dengan gejala LGBT.

Namun begitu pada tahun 2018 hanya selepas tempoh lima tahun, jumlah itu telah meningkat kepada 300,000 orang.

“Perkara itu sangat membimbangkan kita, jadi kita perlu memastikan gejala ini tidak menular dalam keluarga masing-masing.

“Saya mengharapkan semua peserta program akan menjadi sukarelawan yang berusaha menyedarkan serta menyelamatkan masyarakat dari godaan syaitan dan nafsu yang akan membawa ke jurang neraka,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Fitrah Sejahtera (SEFITRA 2018) di D’ Village Resort, Ayer Keroh, hari ini.

Seminar anjuran bersama Lajnah Pendidikan, Lajnah Dakwah DMPM, PASTI Malaysia, SRITI Malaysia, NGO Pertubuhan Nur Fitrah, Sahabat Muslimah Saidatina Aisyah dan NGO AMNA berlangsung selama dua hari.

Program itu telah disertai seramai 150 orang peserta dari wakil DMPM, DMPN, NGO, guru-guru serta waris PASTI, SRITI dan orang perseorangan.

Sementara itu Pengarah SEFITRA 2018 Zuryati Yasin dalam ucapan aluan turut menekankan ibu bapa perlu berperanan sebagai benteng utama pencegahan LGBT di kalangan anak-anak.

Beliau turut mengingatkan para peserta bahawa tahap usaha merawat adalah terkebelakang sedangkan usaha pencegahan adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan.

Turut hadir ialah Dr Wahibah Tahir selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPM yang sangat teruja dengan kehadiran peserta dari seluruh negara. – HARAKAHDAILY 14/12/2018