Waspada agenda idealogi Sosialisme DAP – Presiden

KUALA LUMPUR: DAP tidak boleh dianggap ancaman kerana Malaysia adalah negara demokrasi yang membenarkan penubuhan parti politik, demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Pun begitu menurutnya, walaupun DAP beridealogi Sosialisme, namun tidak berapa kukuh hingga seperti menjadi Kapitalisme di mana boleh bertukar menjadi macam-macam pembawaan.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, petang kelmarin.

“Ancam tak ancam itu, terpulang kepada apa langkah-langkah yang dibuat masa dia memerintah. Kita kena sedar, kita menerima rungutan daripada orang-orang Melayu di Pulau Pinang daripada Kerajaan DAP ini.

“Kita mengharap supaya mereka dapat menangani orang Islam Pulau Pinang dengan cara yang baik, tak ada diskriminasi sebagaimana kita PAS memerintah di Kelantan, di Terengganu melayan baik orang-orang Cina, Hindu.

“(Kita) Beri milik tanah umpamanya. Bahkan masa kita memerintah, orang-orang Cina Kampung Baru yang tak dapat milik tanah sejak berpuluh tahun, sejak zaman British, kita bagi milik tanah. Orang India di estet (pun kita) bagi milik tanah.

“Tak silap saya, pernah Yen Yen bekas Menteri MCA buat kenyataan, dia belajar dapat biasiswa Kerajaan PAS zaman Dato’ Asri. Menandakan bagaimana kita tunjuk sikap kita,” ujarnya.

Beliau mengharap DAP di Pulau Pinang selaku pemerintah mestilah menunjukkan keadilan untuk semua dilaksanakan sebagai kepentingan utama kepada rakyat pelbagai kaum.

Menyentuh mengenai idealogi Sosialisme khususnya teori ekonomi katanya, dunia hanya mengenal Liberal Kapitalisme, Sosialisme dan Komunis, sedangkan mereka lupa Islam.

“Islam ada pendekatan sendiri dalam masalah ekonomi. Kita perlu perkenalkan ekonomi Islam yang bukan Liberal Kapitalisme, bukan Sosialisme. Yang ketara beza Islam ini ialah, ada roh, perhitungan dosa dan pahala.

“(Islam) tak menyekat kekayaan, dalam masa sama tak bagi monopoli kekayaan itu. Ini diajar oleh Islam. Diwajibkan zakat. Ini memerlukan ceramah yang panjang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2018