Perkara baik kerajaan dulu diteruskan

SECARA rasionalnya, sebagai orang Islam, apa sahaja perkara kebaikan yang tidak bertentangan dengan hukum agama, semestinya dilakukan atau disokong apatah lagi jika kebaikan itu melibatkan bantuan kepada orang ramai.

Advertisement

Inilah sikap yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan janji mereka mempraktikkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan meneruskan program-program kerajaan terdahulu yang memberi kebaikan rakyat.

Sebagai contoh, baru-baru ini, telah berlangsung Majlis Penyampaian Baucer Bantuan Awal Persekolahan Dun Bukit Payong yang telah disempurnakan oleh Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah di Dewan Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Bukit Payong.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri itu hadir diiringi oleh Penghulu Mukim Bukit Payong, Encik Zafiri Mohd Zaki, menemui secara dekat penerima-penerima bantuan dan majlis berlangsung tanpa ucapan, bagi mempercepatkan urusan rakyat.

Program ini adalah program yang dilaksanakan oleh pemerintah terdahulu, tetapi kali ini disambung dengan penambahan penerima daripada Sekolah Agama Rakyat yang dahulunya ada yang tidak disenaraikan.

Menurut Penyelia i-MiTS Bukit Payong, Haji Mat Noh Ismail, ini adalah pertama kali mereka menyampaikan sumbangan ini sebagai kerajaan dan semua AJK yang terlibat sangat gembira dan teruja kerana lebih ramai yang mendapat bantuan.

“Semua rasa gembira berkerja membantu masyarakat, walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Kita gembelingkan kesemua 12 orang staf i-MiTS Dun Bukit Payong, 10 orang Pemuda Sejahtera, 10 orang Ameerah, Muslimat dan lima orang anggota Jabatan Amal bagi membantu melicinkan perjalanan program.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua yang terlibat, MPKK kampung terbabit dan semua pihak terlibat.

“Sikap kerajaan meneruskan program-program sebegini mestilah disokong, mengagih tanpa mengira latar belakang, menunjukkan kita menghargai semua lapisan rakyat, tidak sibuk menyalahkan atau memadamkan kebaikan orang lain,” tegas beliau.

Kecuali masalah kekurangan saiz pakaian yang sesuai dan sedikit kelambatan bekalan sampai, tiada isu lain yang dihadapi Haji Mat Noh dan pasukannya.

Ditanya mengenai persiapan banjir bagi Dun Bukit Payong, beliau memaklumkan Sekolah Menengah Seri Payung akan dijadikan sebagai pusat penempatan bagi mangsa-mangsa banjir. 

Jelas beliau lagi, segala persiapan berjalan lancar dan i-MiTS di bawah seliaan beliau telah bersiap sedia walaupun sehingga kini masih tiada tempat di Bukit Payong ditenggelami air. – HARAKAHDAILY 15/12/2018    

IMG 20181215 WA0043

IMG 20181215 WA0044

IMG 20181215 WA0045

IMG 20181215 WA0047