Seminar Sejarah PAS sudah dekat

SEMINAR sehari sejarah PAS, sebelum penubuhannya tahun 1951 hingga hari kemerdekaan 1957 sudah kian dekat, iaitu pada 19 Januari, 2019 di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar Kuala Lumpur. Anjuran bersama Assabiqun dan KUIZM.

Advertisement

Seminar sepertinya pertama kali diadakan dalam sejarah 61 tahun Parti Islam itu, tidak eksklusif kepada orang PAS sahaja, bahkan dibuka kepada peminat sejarah, fakulti sejarah universiti-universiti dan penuntutnya.

Justeru, ramai yang bertanya minat untuk menyertainya, maka demi kemudahan pengurusan, peserta dikehendaki mendaftar awal serta yuran RM30 perkepala pada 10 Januari 2019.

Pemberitahuan rasmi kepada seminarin-seminarat PAS semua peringkat akan dibuat oleh Setiausaha Agung. Tulisan ini adalah maklumat awal bagi menempah tempat.

Yang diharuskan menyertainya ialah anggota Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat, Ahli Dewan-Dewan PAS Pusat, Ahli Perhubungan Negeri/Wilayah, wakil Dewan-Dewan Negeri/Wilayah, empat wakil bagi setiap kawasan, Anggota Parlimen dan Adun-Adun dan Sidang Assabiqun Pusat dan negeri-negeri serta tenaga pengajar KUIZM.

Perhubungan negeri dan kawasan-kawasan bolehlah membuat persediaan awal penyertaan masing-masing.

Seminar ini adalah bagi melengkapkan maklumat tepat PAS kepada semua khususnya generasi baru PAS yang tidak banyak pengetahuan sejarah parti itu sejak ditubuhkan.

Banyak maklumat sejarah datang dari orang luar PAS, yang antaranya kurang tepat. Seminar ini adalah usaha mengumpul dan mendedahkan fakta sahih.

Percubaan membukukan sejarah PAS dari sumber aslinya sudah diterbitkan oleh Harakah Sejarah PAS 1951-1957 yang saya bersama Fadli Ghani usahakan. Mereka yang memiliki buku itu boleh membuat komen melalui seminar itu atau selepasnya. Fakulti sejarah semua universiti dialu-alukan memberi pandangan.

Sejarahnya sejak merdeka hingga kini belum dibukukan. Penganjur seminar mengharapkan seminar nanti memberi sokongan supaya sambungan sejarah itu dapat dibukukan di bawah seliaan KUIZM.

Sejarah PAS adalah sebahagian dari tamadun PAS. Tamadun PAS itu nescaya lenyap jika sejarahnya hilang. Pengetahuan tidak lengkap tentang sejarah menyebabkan orangnya lari dari parti itu.

Melengkapkan PAS dengan sejarahnya yang sahih adalah usaha penting bagi menghalang orang PAS meninggalkan PAS, ia juga usaha bagi mengembalikan yang terlepas itu pulang ke pangkuannya.

Seminar ini adalah permulaan bagi menjadikan KUIZM pusat kajian dan maklumat PAS yang tepat. Biar KUIZM menjadi pusat rujukan sejarahnya, bukan dari lain-lain fakulti sejarah. Dan biar KUIZM nanti jadi pusat kajian sejarah penting gerakan Islam alam ini.

Usaha sedang dibuat bagi mendapat ahli-ahli sejarah yang penting untuk menjayakan seminar ini.

Orang lama PAS yang tahu asal usul parti itu sudah bertambah kurang. Antara yang masih tinggal yang boleh jadi sumber rujukan ialah jasawan PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Dr Daeng Sanusi Mariok. Mereka akan diundang kerana generasi baru PAS dan anak muda sekarang hendak dengar banyak kisah PAS yang orang tidak tahu.

Adalah penting bagi KUIZM selepas ini meneruskan siri seminar pensejarahan PAS sebagai pengisian tamadun masyarakat kita sebagai kesinambungan tamadun Islam Nusantara. – HARAKAHDAILY 15/12/2018