KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 gagal mempertingkatkan pemberian atau insentif kepada anak-anak muda yang mahu menceburi bidang pertanian, demikian menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Sedangkan katanya, Malaysia juga mempunyai tanah yang subur seperti Thailand dan Indonesia di mana kini negara banyak mengimport barangan terutama hasil makanan dan pertanian dari kedua negara itu.
Perkara tersebut diutarakannya pada program Teh Tarik For Malaysia anjuran Pemuda PAS Kawasan Bandar Tun Razak bertajuk “Bajet 2019: Apa Rakyat Dapat?” di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, di sini kelmarin dahulu.
Tegasnya, industri pertanian sangat berpotensi mengangkat mereka yang terlibat dengannya hingga menjadi jutawan berikutan keperluan disumbangkan sektor ini masih jauh daripada mencukupi.
“Jumlah lembu, daging, beras, sayur tak cukup. Kerana tak cukup kita import. Kita terpaksa ambil dari luar kerana bahan kita tidak cukup. Kenapa kita tidak janakan industri ini hingga jadi nasional atau ‘food security‘ kepada negara?
“Saya lebih suka guna perkataan ‘food sovereignty’, kedaulatan makanan. Kita tak ‘dependable’ kepada Thailand, Indonesia kalau kita mampu. Seharusnya lebih banyak peruntukan diberi kepada bidang ini.
“Sebab bidang ini juga perlukan teknologi besar, insentif dan ‘training’ diberikan,” ujarnya turut menyarankan kerajaan ‘menghidupkan’ tanah terbiar yang luas dengan kegiatan pertanian.
Jurutera muda itu turut meluahkan kekesalannya berikutan Kerajaan PH mengurangkan antara 50 hingga 75 peratus peruntukan kepada golongan petani dan nelayan, sedangkan mereka itu penjaga rantaian makanan.
Kini katanya, bukan sahaja peluang pekerjaan untuk anak muda berdikari di bidang pertanian kian mengecil, Kerajaan PH pula sering mengeluar kenyataan berubah-ubah yang menjejaskan keyakinan pelabur.
Hal tersebut menurutnya, turut menyumbang kepada peningkatan pengangguran, sekali gus Kerajaan PH terus mengambil langkah ke belakang dari tindakan-tindakan telah dilakukan.
Begitu juga tambahnya, peluang pekerjaan seperti guru dan doktor masih jauh dari nisbah mencukupi dengan keperluan dalam negara, tetapi tidak terlihat usaha Kerajaan PH untuk menyelesaikannya.
Sehubungan itu, beliau berharap pada Belanjawan akan datang kerajaan tidak mengesampingkan peruntukan sewajarnya untuk anak muda agar mereka dapat menyumbang kemajuan di bidang tertentu. – HARAKAHDAILY 16/12/2018