“Itu tak payah jadi Menteri Kewangan” – bekas Dekan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 menyaksikan Kerajaan PH bukan sahaja tidak kreatif, malah tidak mengemukakan sebarang formula atau pendekatan baharu untuk menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan yang sering dikritikkan selama ini.

Advertisement

Demikian bidas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Zainal Abidin Kidam pada program Teh Tarik For Malaysia bertajuk “Bajet 2019: Apa Rakyat Dapat?” di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, di sini kelmarin dahulu.

Malah ujar beliau, penolakan kuat PH untuk merujuk konsep dan pendekatan terdahulu hinggakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa telah membentangkan ‘Belanjawan Asas Sifar’ (Zero-based Budgeting).

“Sebelum ambil alih pucuk pemerintahan kerajaan, mereka laungkan Bajet BN macam-macam semuanya tak ada benda yang betul. Kerja mereka membangkang sahaja. Sekarang mereka telah diberi peluang.

“Biasanya, kalau ‘Zero-based Budgeting‘ (maknanya) bajet itu dibuat tanpa merujuk kepada yang sebelum ini, dia buat benda yang baru. Maknanya mesti konsep dan pendekatan baru yang dia nak bawa, berbeza dari pernah dibentang BN.

“Memang tertariklah dengar perkataan ‘Zero-based Budgeting‘ itu. Tapi mendengar keseluruhan dibentangkan, harapan itu meleset,” tempelaknya yang berpengalaman sebagai Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Menjelaskan proses menyediakan draf belanjawan, beliau mengakui ianya tidak mudah di mana sewajarnya Menteri-menteri PH yang baharu memegang jawatan pada Mei lalu melalui proses belajar dan memahami terlebih dahulu.

Terangnya, proses yang melibatkan semua Kementerian dan pegawai-pegawai kerajaan dari bawahan hingga atasan itu selalunya melalui penyediaan dan saringan berperingkat-peringkat serta masa agak lama.

Tetapi kritiknya, belum pun Menteri sempat memahami dasar Kementerian dipimpinnya, mereka cuba kemuka bajet baharu dengan mengubah begitu sahaja segala yang telah dibina sejak merdeka lagi.

Sedangkan menurutnya, persediaan sebelum ini dipanggil ‘Sistem Belanjawan Ubahsuai’ (Modified Budgeting System), dengan meneruskan proses atau menambah program baharu atau dilupuskan pendekatan yang lama.

“PAS pun, kita tak pernah tolak bajet (dahulu), habis-habis kita berkecuali saja. Bajet BN dahulu adalah kelemahan dan persoalan, (tapi) cadangan-cadangan kita buat. Bajet ini masalah terbesarnya sistem penyampaian, (ada) ketirisan,” ujarnya.

Beliau yang juga pernah menjawat sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor melihat PH tidak akan mampu menjimatkan antara RM20 bilion hingga RM30 bilion sebagaimana disasarkan.

Apatah lagi ujarnya, dengan PH menghentikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kemudian diganti oleh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kantung kerajaan berkurang RM20 bilion, berbanding sebelumnya melebihi RM40 bilion.

Kerana itu katanya, PH mengambil langkah untuk mengatasi masalah tersebut menerusi sumber mudah iaitu dengan meminta daripada Petronas RM30 bilion bagi menampung keperluan bajet besarnya.

“Ini langsung tak kreatif dari segi menjana dana. Kalau dia (Guan Eng) kreatif, dia kena cari sumber yang bukan hanya ambil dari khazanah dah ada. (Kalau macam) Itu tak payah jadi Menteri Kewangan,” sindir beliau.

Tambah bekas Profesor Madya itu, belanjawan tersebut hakikatnya bukan sahaja meneruskan kelemahan yang ada, malah tidak punya wawasan dan halatuju untuk menghadapi atau menyelesaikan isu yang ada. – HARAKAHDAILY 16/12/2018