PAS mahu Kaukus Al-Quds diwujudkan Parlimen M’sia

KUALA LUMPUR: PAS akan segera mencadangkan untuk diwujudkan Kaukus Al-Quds Palestin di peringkat Parlimen Malaysia, demikian maklum Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Advertisement

Menurutnya, PAS tetap dengan pendirian bahawa masa depan Palestin adalah di tangan umat Islam sendiri dan bukan oleh pihak asing, termasuk Amerika Syarikat yang kini cuba menjadi juara.

Penegasan tersebut dinyatakannya setelah selesai menyertai Persidangan Ahli Parlimen Sedunia Untuk Al-Quds di Istanbul, Turki sejak 14 Disember lalu dan berakhir kelmarin.

“Seluruh dunia perlu meneruskan lagi tekanan kepada Israel untuk mereka tidak melakukan kezaliman dan pembantaian rakyat Palestin yang sudah sekian lama merana akibat penjajahan ini.

“Berkaitan ‘Two-state Solution‘, bagi PAS ia bukan jalan penyelesaian. Penyelesaian terbaik mestilah ditentukan oleh pihak Palestin dan rakyatnya sendiri.

“‘Two-state Solution‘ ini adalah cadangan daripada pihak-pihak yang tidak sepenuhnya mewakili rakyat Palestin,” ujar beliau pada persidangan bertemakan Baitul Maqdis kekal Ibu Negara Palestin dan mesti dipertahankan itu.

Delegasi persidangan melibatkan tersebut diketuai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Rashid Hasnon, manakala daripada PAS dihadiri Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) dan Awang Hashim (Pendang)

Sementara daripada Umno dihadiri Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) pada persidangan anjuran Kerajaan Turki selama dua hari itu.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan yang merasmikan persidangan itu menyeru bahawa negaranya dan seluruh dunia umat Islam perlu berusaha lebih keras membebaskan Palestin.

Tegasnya, bumi Palestin adalah hak mutlak umat Islam di mana Amerika Syarikat tidak seharusnya dan jangan berdegil untuk meletak atau memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke Baitul Maqdis. – HARAKAHDAILY 17/12/2018