Banyakkan guru agama di Sabah dan S’wak

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk menambah guru-guru agama di Sabah.

Advertisement

Ia amat bersesuaian dengan keadaan di negeri Sabah yang sebilangan masyarakat Islam masih belum mendapat pendidikan agama sebaiknya.

PAS Sabah juga mendapat maklumat bahawa masih terdapat sekolah yang langsung tidak ada guru yang mengajar subjek agama Islam khususnya di sekolah-sekolah luar bandar.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan Sabah sudah merdeka lebih dari 55 tahun. Di samping itu Islam juga menjadi agama rasmi negeri Sabah.

PAS Sabah amat berharap perkara ini direalisasikan secepat mungkin kerana Islam ini perlu disampaikan supaya ianya boleh diamalkan oleh penganutnya.

PAS Sabah juga menyarankan kepada guru-guru agama agar memainkan peranan mereka sebaiknya dengan mendidik bukan hanya di sekolah tetapi juga dalam kalangan masyarakat. Guru-guru agama ini boleh mengajar di masjid dan surau serta mana-mana majlis bersama masyarakat agar ajaran Islam ini melebar kepada semua masyarakat.

Masyarakat bukan Islam pula tidak sepatutnya takut dengan kemasukan guru-guru agama seumpama ini kerana tugas utama mereka adalah mendidik dan mengajar khusus kepada masyarakat Islam.

MOHD AMINUDDIN ALING 
Pesuruhjaya PAS Sabah
19 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 19/12/2018