PH mulai dilanda kemelut dalaman

KOTA BHARU: Perletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dianggap sebagai protes pemimpin PKR terhadap Pakatan Harapan (PH).

Advertisement

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kekusutan yang berlaku dalam PH sekarang mungkin memberi kesan sehingga Nurul Izzah berbuat demikian.

Katanya, PH sebelum ini memberi gambaran tidak akan memberi laluan pada ahli Umno menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu.

“Namun apa yang berlaku sekarang sebaliknya pula,” ujarnya di sini.

Rabu lepas Umno Sabah hampir lumpuh apabila 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas setelah keluar daripada parti itu.

Kemudian sehari selepas itu enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti iaitu ahli Parlimen Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid, Dato’ Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Dato’ Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor).

Selain itu Dato’ Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Larut).

Bagaimanapun sehingga sekarang empat bekas wakil rakyat Umno menyertai Bersatu termasuk ahli parlimen Jeli Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan ahli parlimen Bagan Serai Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali.

Keadaan itu menjadikan jumlah ahli parlimen Bersatu meningkat kepada 16 orang berbanding 12 pada 9 Mei lepas. – HARAKAHDAILY 19/12/2018