Isi guru Pendidikan Islam di Sarawak

KEKURANGAN guru Pendidikan Islam terutamanya mereka yang mengajar di Sarawak perlu dipenuhi dengan segera supaya anak-anak Muslim mendapat pendidikan Islam yang sempurna.

Advertisement

PAS mengalu-alukan guru Pendidikan Islam dari Semenanjung untuk terus berkhidmat di Sarawak, terutamanya untuk anak-anak Muslim di Sarawak yang memerlukan bimbingan dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

Mereka datang ke Sarawak sebagai memenuhi kehendak dasar pendidikan negara yang mengajar anak-anak Muslim untuk memahami dan mengamalkan Islam, adab, etika dan cara hidup Islam supaya menjadi muslim yang lebih baik lagi.

Mungkin ada salah faham tentang makna dakwah seolah-olah memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam itulah sebabnya orang berfikir guru agama Islam datang ke Sarawak menyasarkan untuk berdakwah kepada orang bukan Islam untuk memaksa mereka untuk memeluk Islam.

Di Malaysia, biarpun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, penganut-penganut agama lain masih lagi bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Hal kebebasan beragama ini diperuntukkan dalam “Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan”.

Kebebasan agama diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan (tunduk pada undang-undang yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam) untuk menyebarkannya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata isu yang berkaitan agama dan bangsa perlu ditangani secara lebih berhati-hati.

Maka itu kata beliau, jika dalam konteks pendidikan agama untuk anak-anak beragama Islam, maka guru pendidikan berkenaan seharusnya menumpukan untuk mendidik pelajar dalam bidang Islam dan bukan luar daripada konteks itu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menasihatkan guru agama Islam dari Kelantan dan Terengganu tidak pulang ke Semenanjung buat sementara, sebaliknya terus menabur bakti di Sabah dan Sarawak kerana bekalan guru agama yang mendesak di kedua-dua negeri. PAS mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan menampung kekurangan guru Pendidikan Islam di Sarawak.

PAS menyeru kerajaan Sarawak untuk terus memberi perhatian kepada Islam di Sarawak kerana orang Islam di Sarawak masih memerlukan lebih banyak pusat pendidikan Islam. Melatih dan mengajar pelajaran Islam kepada pelatih dari Sarawak untuk mengisi kekosongan supaya pendidikan Islam di Sarawak berjalan lancar dan tidak ketinggalan dari negeri-negeri lain.

Selepas ramai guru Pendidikan Islam terlatih dari Sarawak dapat mengisi kekosongan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di Sarawak maka guru-guru dari Semenanjung boleh kembali ke tempat asal mereka selepas guru-guru Pendudikan Islam Sarawak dapat memenuhi keperluan yang ada.

PAS menyeru umat Islam di Sarawak untuk bersatu dan menyokong perkara-perkara yang baik untuk masyarakat Islam, ini tidak bermakna kita mahu berkonfrontasi dengan agama-agama lain. Umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sudah pasti menjadi warga yang lebih baik dalam menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak ini. Islam mengajar kita untuk berbaik-baik dengan sesama insan tanpa mengira bangsa, warna dan agama. – HARAKAHDAILY 22/12/2018

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.