Peneroka: Jangan politikkan RM77 juta

URMD

KERAJAAN Pakatan Harapan menghebahkan mengenai peruntukan RM77 juta kepada peneroka Felda bagi penyelesaian hutang mereka seperti diumumkan menterinya minggu lepas.

Advertisement

Pengumuman tersebut diviral mereka semaksimumnya dan dianggap satu perkara besar yang harus sama sekali melegakan peneroka Felda.

Bagi kami di NGO GENERASI, peruntukan Felda ini tidak sangat membantu peneroka kerana masih banyak perkara pokok yang membelenggu peneroka tidak langsung diselesaikan pihak Felda dan kerajaan yang ada hari ini. Tidak seperti janji mereka semasa mahu mengumpan undi kepada rakyat khasnya peneroka Felda dalam PRU14.

Ingin kami tegaskan di sini, pembelaan pada perkara pokok isu Peneroka tidak sangat membantu melalui peruntukan ini kerana jumlah peneroka 112,635 orang bukan 38,000 orang seperti yang dinyatakan menteri.

Isu yang kritikal bagi peneroka ketika ini adalah antaranya harga komoditi sawit yang menurun dan kita amat menuntut kerajaan menetapkan harga lantai RM400 setan.

Malah bayaran hasil yang lambat sehingga dua ke tiga bulan amatlah menyeksa peneroka di mana ia berlarutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malah sara hidup yang lambat menyebabkan ramai dalam kalangan peneroka terpaksa mengikat perut.

Apa yang menjadi tandatanya, penyata hutang yang tak jelas membuatkan ramai peneroka tertanya mengenai jumlah sebenar hutang mereka.

Kami mendesak kerajaan segera menyelesaikan isu pembayaran hasil, meletakkan harga lantai sawit minimum RM400 dan menyelesaikan segera isu penyata hutang yang tidak jelas. Ini adalah perkara paling asas yang membelenggu peneroka Felda selama ini. Buktikan bahawa janji kerajaan sebelum pilihan raya umum lalu ditunaikan segera demi kebajikan peneroka. Jangan hanya janji dicapati sekali lagi.

Memangkin Impian Generasi

USTAZ ROSLAN MD ESA
Presiden NGO Generasi
23 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 23/12/2018