Pendidikan Islam syarat wajib lulus

nasrudin3

EKORAN kenyataan YAB Perdana Menteri tempoh hari, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meminta pihak kerajaan untuk merombak kurikulum sekolah dengan menekankan konsep integrasi ilmu iaitu merujuk kepada kesepaduan antara ilmu wahyu dan ilmu akal.

Advertisement

Kebanyakan institusi pendidikan seperti di Selangor, Terengganu dan Kelantan telah menyuburkan konsep integrasi seperti pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab dan Maahad Tahfiz Sains.

Sambutan dalam kalangan masyarakat sangat menggalakkan. Hal ini menjadi indikator bahawa para ibu bapa mahu anak-anak mendapat mendapat ilmu yang seimbang di samping penghayatan terhadap adab dan akhlak.

Pada hari ini, hanya ada satu sahaja subjek Pendidikan Islam dan ia tidak diajar setiap hari. Pada masa yang sama, setiap pelajar akan dinilai praktikaliti amalan fardhu ain seperti berwuduk dan bersolat.

Kurikulum yang diamalkan pada hari ini sudah baik cuma perlu diperkemaskan. Oleh sebab itu, PAS mencadangkan konsep integrasi ilmu perlu diterapkan bagi membentuk jatidiri dan kefahaman pelajar.

Hal ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Subjek Pendidikan Islam dan Moral juga mesti dijadikan syarat wajib lulus bagi semua peperiksaan utama negara.

Cabaran yang perlu difokuskan oleh kerajaan adalah menangani peningkatan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

Data menunjukkan sebanyak 1,440 kes jenayah direkodkan pada tahun 2017, meningkat daripada 1,302 kes pada tahun 2016. Kes-kes yang direkodkan adalah jenayah bunuh, rogol, dadah, mencuri, ragut dan pecah rumah.

Isu ini perlu ditangani bersama dan diberikan perhatian serius agar para pelajar dapat dididik dengan baik dan dijauhi daripada anasir-anasir negatif.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Rabi’ul Akhir 1440 | 24 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 24/12/2018