GLC apa yang kita mahu?

GOVERNMENT Linked  Companies (GLC) atau Syarikat Berkaitan Kerajaan adalah satu entiti penting yang ada dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. GLC diperlukan bagi menjalankan beberapa perniagaan untuk kerajaan mencari keuntungan, jadi tidaklah mereka berharap mendapat hasil dari sumber tetap yang statik atau Capitation  Grant daripada Kerajaan Pusat sahaja. Ringkasnya GLC ini adalah sebahagian usaha kerajaan bagi menjana pendapatan sampingan negeri atau negara.
 
Perlantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) GLC biasanya adalah lantikan politik. Ini sudah menjadi kelaziman kepada mana-mana kerajaan. Ia tidak menjadi kesalahan. Kita perlu faham, politik zaman ini adalah parti yang menguasai kerajaan. Jadi bagi jawatan-jawatan tertentu dalam GLC, pastinya akan diberikan kepada individu-individu terpercaya. Ia bukan juga sumber bagi orang-orang tertentu untuk menceduk harta rakyat atas nama GLC. Jika ini berlaku, maka ianya adalah pecah amanah, walau dihiasi dengan pelbagai alasan, wajib kita melaporkan.
 
Saya khususkan perbincangan kepada GLC di Terengganu. Alhamdulillah, saya sudah banyak kali berpeluang berjumpa dengan beberapa individu yang terlibat secara langsung dengan GLC pada zaman kerajaan terdahulu. Mereka adalah orang-orang besar beberapa GLC yang secara langsung mendedahkan beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku di dalam pengurusan GLC. Hal ini, tidak menghairankan kerana dalam laporan, GLC di Terengganu dimaklumkan hanya beberapa sahaja yang untung. Majoritinya rugi.
 
Ada Pengerusi GLC yang jika lambat dimasukkan elaunnya, akan sentiasa mengejar CEO, walaupun tidak pernah untung ketika dia menduduki kerusi itu. Ada GLC yang hanya menyediakan separuh kertas A4 apabila diminta untuk disediakan pelan perniagaan mereka. Memperlihatkan tidak seriusnya mereka dalam menguruskan wang rakyat. Itu belum lagi diceritakan mengenai GLC yang diguna pakai perkhidmatannya, tidak dibayar langsung oleh pelanggan mereka atas alasan yang bermacam-macam dan ditendang bagaikan bola ke sana kemari apabila meminta bayaran. Ada yang menggunakan kemudahan GLC secara percuma yang gagal dilaporkan kepada ALP. Ada yang buat GLC seperti harta keluarga mereka. Tentang penyelewengan GLC yang telah berada dalam siasatan, anda semua tentu sudah maklum.
 
Terengganu mempunyai 100 lebih GLC yang seperti saya nyatakan tadi, majoritinya mengalami kerugian. Ini mungkin ramai yang tidak tahu. Maka sekarang PAS mengambil alih kerajaan. Antara perkara utama yang perlu diberi keutamaan ialah penstrukturan semula GLC. Ramai yang salah faham apabila membincangkan isu GLC ini. Mereka menganggap ianya seperti pembahagian kekayaan sesama orang politik. PAS berbeza dengan parti lain. Kita ada rekod, terbukti dahulu pun ketika memerintah tahun 1999, tiada seorang pun ALP GLC Terengganu dihadapkan ke mahkamah. Contohnya TDM yang kerugian, menokok keuntungannya hasil daripada pengurusan berkualiti, menjulang amanah rakyat. 
 
Mereka, ada yang sinis mengatakan bahawa sepatutnya GLC diterajui oleh teknokrat yang mahir dalam bidang mereka. Jelas, mereka tidak peka dengan fungsi dan tugas ALP GLC. ALP hanyalah sekumpulan pemikir yang membentuk halatuju GLC manakala CEO atau pengurus besarlah yang akan memastikan perjalanan GLC mengikut acuan ALP. Maka CEO yang mesti datang daripada profesional yang memahami selok belok perjalanan perniagaan mereka, bukan semestinya ALP. Dan atas dasar ingin membangunkan syarikat mengikut acuan Islam, individu-individu yang memahami politik Islam, yang faham kehendak dasar parti, selayaknya menduduki kerusi ALP. Mereka akan memantau perjalanan GLC agar sentiasa berada di atas landasan. Ini juga termasuk mengembalikan GLC Terengganu yang terkeluar dari senarai patuh Syariah di BSKL. Pun begitu, mereka juga bukanlah sembarangan, perlu ada pengetahuan asas yang kuat agar tidak dilihat lemah.
 
Mengambil tanggungjawab menjadi Pengerusi GLC Terengganu adalah satu risiko maruah kerana mereka perlu membaiki segala kegagalan yang ada itu. Mengembalikan fungsi GLC agar tidak menjadi harta persendirian. Jika sentiasa rugi, nama baik Pengerusi akan tercalar. Kita bukan seperti parti lawan, muka mereka tebal. Kita fikir perlu berhadapan dengan Allah dan manusia atas tanggungjawab ini. Saya hanya tersenyum apabila dimaklumkan oleh beberapa orang politik, mereka diamanahkan menjaga GLC yang rugi. Mereka sudah kelihatan pening. Tetapi atas nama amanah, mereka menerimanya. Tidak juga menjadi kegembiraan kepada yang memegang GLC yang untung kerana jika ada kerugian, mereka juga akan mendapat malu. Jadi jika layak, tidak timbul berapa GLC yang dipegang, tetapi apa pencapaiannya.
 
Beberapa usikan nakal yang kita anggap daripada parti lawan, perlulah kita hindari. Mereka sememangnya sentiasa mencari ruang-ruang untuk menjolok kebahagiaan kita. Kita berada atas jalan yang betul bagi membawa Terengganu ke puncak kejayaan. Ada juga orang kita yang cuba meniru satu kisah di zaman Saidina Umar, menegur Umar dengan pedang jika Umar melakukan kesalahan. Itu bagus, tetapi ibrah lain yang terselit ialah, Umar dijamin Syurga oleh Rasulullah dan lelaki itu, tidak dikenali orang, tiada nama yang tercatat. Mengapa tidak memilih untuk menjadi Umar daripada lelaki itu? Kenapa tidak dituruti jalan Usamah bin Zaid apabila menegur Khalifah Usman, dia menegur secara baik?
 
Orang Melayu sangat fobia dengan duit banyak, pangkat besar dana apa-apa kekayaan jika ia melibatkan orang agama. Bagaikan orang agama tidak boleh menjadi kaya atas amanah yang diberikan. Dalam sebuah hadis sahih, Az-Zubair al-Awwam, sepupu Rasulullah, menantu Abu Bakar, suami Asma’ diriwayatkan sebelum meninggal, telah mengira hutang-hutang beliau dan mengamanahkan anaknya membayar semua hutang itu. Apabila beliau meninggal, anak beliau menghitung hutang-hutang itu menjangkau jutaan. Dan apabila mengira kembali harta Az-Zubair, mereka berjaya membayar semuanya. Maksudnya Az-Zubair adalah seorang jutawan. Bayangkan jika Az-Zubair bersama kita dengan kekayaan sebegitu. Sudahlah sepupu Rasulullah, menantu Abu Bakar, kaya pula. Apa agaknya hinaan kepada beliau. Itu belum disebut Abdul Rahman al-Auf, Abu Bakar, Usman dan lain-lain. 
 
Ada orang kita yang suka mendengar dan mengambil berita sampah daripada media sosial. Ianya berlaku berterusan. Kemudian tanpa rasa bersalah, menyebarkannya, atau buat-buat tanya. Mungkin ramai yang tidak terfikir, ketika BN hendak dijatuhkan, PH menggunakan pelbagai fitnah bagi mencapai hasrat mereka. Orang PAS turut sama berkempen, mengedar berita-berita sekerat, tanpa tahu betul atau salah. Akhirnya BN tumbang, PH menang. Mereka dapat kuasa walaupun berdosa. Kita dapat dosa tanpa kuasa. Kini BN pula cuba menolak jatuh PH. Ahli PAS sekali lagi turut bersama BN mengedar propaganda dari BN. 
 
Saya takut nanti BN menang, dapat kuasa, kita sekali lagi dilonggokkan dosa memfitnah, tetapi kuasa BN yang dapat. Paling sedih apabila bukan sahaja propaganda kepada PH dan BN yang kita edarkan, tetapi propaganda jahat kepada pimpinan kita sendiri pun kita uar-uarkan, dalam pada kita sendiri tidak tahu betul atau salah. Lagi parah, kita mula berkomentar mendakwa pimpinan kita bersalah atas apa yang tidak kita ketahui. Sedangkal itukah kita yang mengaku berjuang atas nama Islam? Kita angkat pimpinan melalui muktamar, kita undi mereka kerana kepercayaan dan terbukti baik menjaga negeri, alih-alih, kita yang mencurigai mereka. PH dan BN tersenyum girang dengan perangai kita ini. Mudahkan kerja mereka. Dakwalah pimpinan jika terbukti berlaku penyelewengan, kita sokong. Tetapi berlaku adillah dengan memberikan ruang bagi mereka melaksanakan amanah ini dahulu.
 
Jika diberi kepada orang politik, ada yang membantah, lalu bertanya tiada orang lainkah? Jika ditawarkan kepada orang bukan politik pula, ada yang tanya, mana perginya orang politik yang bertungkus lumus sebelum ini? Jika dikurniakan kepada orang luar Terengganu, ada yang marah, sudah habiskah anak Terengganu? Bila ditanya siapakah lagi anak Terengganu yang layak, silalah tunjukkan, mereka diam membisu. Jadi, apa yang kita mahu dengan GLC Terengganu ini sebenarnya? Kita memeningkan pimpinan, sekaligus membantu musuh untuk meruntuhkan kekuatan kita.
 
MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
25 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 25/12/2018
 
Advertisement