Sertai Hit & Run Derita Rakyat di SOGO, 31 Dis

KERAJAAN PH yang tertegak di atas undi ‘harapan’ untuk membebaskan rakyat dari penguasaan rejim BN dengan melaksanakan pelbagai agenda perubahan, ternyata selepas lapan bulan berkuasa segalanya palsu dan bohong. Banyak janji yang diungkap bahkan tercatat di dalam manifesto pun sewenang-wenangnya telah dimungkiri dari ditunaikan. Malah, pelbagai alasan pula diberi secara memperolok-olokkan rakyat.

Advertisement

Begitu juga pelbagai dakwaan berkaitan kecurangan, penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan, rasuah dan seumpamanya, hingga kini dilihat bersimpang siur yang membayangkan seolah-olah ianya tuduhan tanpa pembuktian. Sebaliknya pelbagai skandal dan kleptokrasi bagaikan telah dilupus secara silap mata dengan kaedah lompat parti atau dibenam terus dalam sejarah demi menyelamatkan tokoh-tokoh terbabit.

‘Harapan’ ternyata musnah tatkala menyaksikan pembentangan Belanjawan 2019 oleh Kerajaan PH yang langsung tidak menguntungkan rakyat. Banyak peruntukan yang pernah diberikan terutama melibatkan golongan miskin, berpendapatan rendah, pelajar, petani, nelayan dan seumpamanya telah dipotong atau ditiadakan sama sekali. Inisiatif diperuntukkan pula dilihat hanya terus menguntungkan golongan kaya.

Banyak projek penting negara telah ditunda atau dibatalkan, dan pelbagai aset mahu dijual dengan segala angka dimanipulasi, dipolemik atau tersalah kira kononnya. Kesungguhan menghapuskan GST yang digantikan SST tidak menunjukkan satu kesan ketara dan memberangsangkan. Terkini, Indeks Harga Pengguna serta kadar inflasi terus merekodkan peningkatan, sekali gus menyumbang penurunan kuasa beli rakyat.

Ini menjadikan kos sara hidup rakyat kian tinggi sekiranya dibandingkan antara purata gaji dan sumbangan pampasan yang pada tahun lalu berada pada 35.2 peratus. Sedangkan laporan Kajian Separuh Penggal RMK11 mensasarkan peratus sumbangan pampasan pekerja terhadap KDNK meningkat sekurang-kurangnya 38.0 peratus menjelang tahun 2020. Malangnya, janji untuk menaikkan gaji minimum RM1,500 juga gagal.

Peningkatan turut berlaku kepada kadar pengangguran belia negara, selain masih tidak terlihat usaha bersungguh-sungguh Kerajaan PH untuk mengatasi pengambilan pekerja asing termasuk tenaga mahir yang ‘diimport’. Ketika sama, umpama jatuh ditimpa tangga, janji menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN bagi yang bergaji bawah RM4,000 bertukar ngeri, bahkan sebaliknya dirancang pemotongan gaji dilaksanakan.

Semua ini menjadi sebahagian episod derita rakyat yang tidak berkesudahan dan tidak menemui penyelesaian jitu. Kerajaan PH bukan sahaja dilihat tidak memiliki ‘political will’ bagi menyelesaikan masalah lampau, bahkan kontang idea untuk memacu perubahan ke depan. Sehubungan itu luahan penderitaan ini mesti digema suarakan di seluruh negara. Mesej mesti disampaikan kepada Kerajaan PH sebagai signal dari rakyat.

Untuk itu kami menyediakan wadah dan menyeru rakyat khususnya anak muda untuk bersama dalam Hit & Run Derita Rakyat yang akan diadakan pada Isnin, 31 Disember 2018 jam 10:00 malam di Kompleks SOGO, Kuala Lumpur dan zon-zon negeri seluruh negara. Hadirlah beramai-ramai secara aman untuk kita bersolidariti dan menyuarakan gesaan kepada Kerajaan PH supaya mengadakan penyelesaian terhadap derita rakyat.

Islam Memimpin”
 “Terus Mara

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/12/2018