Lemah pun mampu tadbir 2 negeri

KOTA BHARU: PAS yang dikatakan lemah oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap lebih baik kerana berjaya mentadbir dua negeri secara bersendirian.

Advertisement

Kata Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah, Bersatu hanya dapat 12 kerusi di peringkat parlimen kerana bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sedangkan PAS menang 18 kerusi parlimen itu pun bertanding secara bersendirian,” katanya selepas merasmikan Pusat Belia Kelantan dan pelancaran logo di Medan Usahawan di sini hari ini.

Kelmarin Muhyiddin menyifatkan PAS irihati terhadap pentadbiran PH sekarang dan membayangkan parti itu akan menjadi pembangkang selama-lamanya.

Kenyataan itu sebagai respon terhadap kenyataan awal Mohd Amar yang menggambarkan kerajaan PH akan runtuh dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Besar Kelantan terbabit juga berkata, lebih menjadi pembangkang daripada menjadi kerajaan yang menabur janji palsu terhadap rakyat.

“Pada saya lebih baik PAS jadi pembangkang berbanding kerajaan PH yang hanya menabur panji palsu kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/12/2018