Mungkinkah PM semakin tidak lena?

HUJAN begitu lebat. Diselangi pula dentuman guruh, seakan-akan mahu memecah lapisan ozon. Putrajaya dibasahi hujan petang itu.

Advertisement

Kata penghuni di situ sudah beberapa hari bumi Putrajaya tidak disirami hujan. Namun hujan tidak lama, lebat hanya seketika.

Putrajaya agak bernasib baik kerana pembangunan teratur dan tersusun. Tiada banjir kilat di persekitaran kediaman pegawai kanan kerajaan.

Kata seorang penghuni rumah kembar dua tingkat di situ, aset didudukinya mencecah RM1.5 juta. Masya-Allah jauh panggang dari api bagi orang kampung untuk menumpang berteduh.

Mungkinkah hujan lebat itu membasah jiwa rakyat. Di Kelantan hujan lebat di hulu Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri boleh menenggelamkan jambatan sementara di Setelu dan Pemberian.

Namun rakyat mengharapkan hujan lebat boleh membasuh ‘noda’ ditinggalkan kerajaan lama. Isu 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta nilai ‘RM’ parah diharap rakyat dihanyut arus.

Paling ditunggu mahasiswa, yang mengharapkan mereka tidak lagi dibebani pinjaman PTPTN. Pakatan Harapan (PH) memberi seribu harapan buat mereka.

Akhirnya datang hujan lebat dengan dentuman guruh berjaya menghanyutkan Umno dan Barisan Nasional (BN). PH tiba-tiba muncul menduduki kerusi ditinggalkan BN.

Hari pertama kerajaan PH muncul tiba-tiba ribut melanda. Ada pihak tidak segan mengkritik istana kerana lambat menerima mengadap calon perdana menteri untuk mengangkat sumpah.

Orang bukan Melayu juga semakin berani. Di Port Dickson guru-guru bukan Melayu yang berselindung di sebalik MCA dan Gerakan sekarang mendabik dada menyokong DAP.

Pelajar sekolah menengah juga tidak segan lagi memberitahu ayah dan ibu mereka menyokong DAP. Lambang roket dilukis di kulit buku.

Situasi itu mengulangi apa yang pernah berlaku di Selangor pada selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Khabarnya ada wakil rakyat bukan Melayu mahu tanglung dipasang di kawasan bandar.

Akhirnya nama jalan juga menjadi dwibahasa. Ada tulisan Cina dan rumi di Selangor. Apa akan jadi 20 atau 30 tahun akan datang kalau fenomena seperti itu dibiarkan.

Identiti Tanah Melayu masih hilang. Singapura hanya tinggal nama Tuas, Bukit Timah, Jurung dan beberapa lagi yang berpaksikan nama asal pulau itu.

Sebaliknya kata seorang pegawai kanan di Putrajaya, beliau nampak perbezaan kerajaan PH sekarang aspek ketelusan. PH nampak lebih telus membilang semula aset kerajaan.

Telus tidak mengejar pangkat Dato’ bagi pemimpin bukan Melayu. Namun PH Melayu citranya berbeza. Anak peneroka yang diberi tempat dalam agensi persekutuan juga sekarang bergelar Dato’.

Situasi yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sudah cukup merisaukan. Imej Tanah Melayu yang diteroka nenek moyang lambat laun hanya akan tinggal nama.

Sejarah yang berlaku di Singapura perlu diamati. Era Malaysia Baharu kelihatan tiada kesungguhan mempertahankan jati diri peribumi.

Melayu PH sekarang tidak segan lagi memperjuangkan pilihan raya pihak kerajaan tempatan (PBT). Mereka seperti tidak menghargai sejarah.

Belum pun pilihan raya PBT diadakan di Selangor sudah muncul nama jalan tulisan bukan Melayu. Cuba bayangkan sekiranya pilihan raya PBT diizinkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata pegawai tadi, hanya Dr Mahathir mampu menyekat agenda DAP. Baginya Dato’ Seri Anwar Ibrahim belum mampu mengekang kemahuan kerabat PH itu.

Tengok kenyataan pemimpin PKR. Menteri Luar dari PKR, Dato’ Saifuddin Abdullah menyanggah kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di London.

Presiden PAS menyebut pilihan raya PBT akan menyebabkan sesuatu bandar dikuasai oleh satu kaum sahaja.

“Hakikatnya orang Melayu adalah majoriti di kebanyakan PBT, tetapi dia (Hadi) tidak mahu mempercayainya,” kata Saifuddin di laman sosial.

Ternyata Saifuddin antara pemimpin PH yang alim dengan usrah DAP. Kehadiran pemimpin seumpama itu menambah lagi kebimbangan rakyat. Isu ICERD sudah banyak mencalar imejnya.

Ternyata pemikiran sosialisme seperti dibanggakan pemimpin Melayu PH sekarang. Tiada lagi wacana Islam Madani.

Tujuh bulan pertama Malaysia Baharu, DAP muncul seumpama juara. Mungkinkah adegan tersebut membuatkan Dr Mahathir semakin tidak lena? – HARAKAHDAILY 26/12/2018