Prinsip Islam: PAS, Umno perlu bersama

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan sebagai sebuah parti yang mendukung dan memperjuangkan prinsip Islam, parti itu bersedia bekerjsama dengan sesiapa sahaja demi mempertahankan Islam.

Advertisement

Demikian itu, hubungan antara PAS dan Umno ketika ini adalah kerjasama antara dua parti pembangkang yang sepentas memperjuangkan isu-isu semasa di peringkat nasional khususnya melibatkan kedudukan Islam dan hak orang Melayu dan Bumiputera.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, walaupun PAS dan Umno berbeza tetapi atas dasar prinsip untuk menyelamatkan kedudukan Islam dan bangsa Melayu, kedua-dua parti ini perlu bekerjasama.

“Kita sebut PAS adalah PAS, Umno adalah Umno, tapi kita boleh bersama dalam soal-soal yang berkait dengan dasar dan prinsip.

“Kita orang PAS orang Islam, orang Umno orang Islam, maka kita mestilah bersama-sama dalam perkara berkait dengan prinsip untuk mempertahankan Islam dan hak-hak Melayu dan Bumiputera di negara kita,” katanya dalam satu forum Chit-Chat Ubi Kayu Cicoh Nyor yang berlangsung di hadapan pasar Batu Enam, Kuala Nerus, malam tadi, yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau.

Beliau yang dijemput sebagai panel forum tersebut menerangkan timbul kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini mengenai masa depan negara yang samar-samar dan kedudukan Islam setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk memerintah negara.

Ujarnya, bibit kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan parti amat perlu selepas timbul suasana politik pada hari ini yang masih tidak menentu dan berkecamuk tambahan pula kebimbangan rakyat negara ini mengenai kestabilan ekonomi, pendidikan dan paling penting kedudukan agama Islam.

“Isu ICERD yang saya sebutkan tadi sangat membimbangkan boleh mengganggu-gugat Islam sebagai agama Persekutuan di negara kita dalam masa yang sama berkait dengan isu-isu institusi-institusi agama Islam dalam negara kita yang disentuh dengan begitu berani oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.

“Malangnya kita lihat parti yang mengaku kononnya parti Islam yang duduk dalam Pakatan Harapan senyap tak berani nak kata apa.

“Sebab itu di sini kita bimbang ke mana hala tuju yang nak dibawa oleh Pakatan Harapan yang memerintah negara kita maka ia memerlukan kepada kita umat Islam untuk bersatu, untuk bersama, untuk berpadu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok.

“Kita memperjuangkan hak kita (orang Melayu) yang merupakan penduduk asal di tempat kita, bukan bermakna kita benci orang Cina, India, kristian, buddha dan hindu, mereka bebas untuk berpegang dengan agama mereka.

“Inilah politik melampau yang berlaku dalam kerajaan PH pada hari ini. Terutama dari sudut nak membuang hak-hak Islam dan umat Islam sedikit demi sedikit. Ini mengganggu institusi-institusi Islam.

“PAS dan Umno boleh berbeza tetapi dari sudut prinsip Islam kita mesti bersama melalui platform ICERD dan insya-Allah kita akan bergerak dengan platform yang lain melalui isu-isu yang sedang berlaku dan bakal berlaku,” ujarnya lagi.

Beliau berkata keretakan di dalam Pakatan Harapan sedang berlaku melalui isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan bercanggahan pendapat antara mereka. – HARAKAHDAILY 26/12/2018