PH: Amal politik melampau, kini telan muntah sendiri

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan gugatan dari dalam Kerajaan PH untuk membuang hak agama dan umat serta mengganggu institusi Islam adalah politik pelampau.

Advertisement

Menurutnya, berbanding di Myanmar, India dan China, umat Islam Rohingya, Kasymir dan Uyghur ditindas dan dizalimi, sedangkan kaum dan agama lain di Malaysia selamat di bawah umat Islam.

“Tiba-tiba mereka nak buang hak kita, PH bawa perjuangan supaya ICERD ditandatangani, mereka nak hak sama rata. Kita kata kita memperjuangkan hak kita, orang Melayu, Bumiputera yang merupakan penduduk asal tempat kita.

“Bukan bermakna kita benci kepada orang Cina, orang India, orang Buddha, orang Hindu, tidak! Mereka bebas,” ujarnya pada program Chit Chat Ubi Kayu Cicoh Nyor di Kuala Nerus, malam kelmarin.

Bidasnya, PH kini terus terus menggerakkan isu selepas ICERD antaranya kini dibangkitkan pula Pilihan Raya Majlis Tempatan (PBT) agar bandar-bandar dikuasai oleh satu kaum sahaja.

Namun kata beliau, sebaliknya terjadi apabila berlaku keretakan di dalam PH yang sesama mereka tidak wujud kesatuan dan perpaduan hingga saling canggah satu sama lain.

Oleh itu serunya, orang Islam sama ada dari PAS mahupun Umno walaupun berbeza mesti bersama dalam perkara prinsip dan dasar demi untuk menyelamatkan negara, agama dan bangsa hari ini.

Menyentuh mengenai dakwah kepada bukan Islam, beliau menekankan dua asas penting iaitu konsisten memberi penerangan dan menjelaskan dengan istiqamah, manakala kedua wajib tegas terhadap prinsip.

Beliau mengingatkan semula mengenai kisah dakwah Rasulullah yang ditawarkan pelbagai habuan untuk meninggalkan Islam, namun ditolak Baginda.

Kerana tegasnya, perjuangan PAS ada ‘garisan merah’ yang tidak boleh dilanggar antaranya soal agama di mana ia menjadi perbezaan perjuangan antara PAS dengan pihak lain.

“PAN duduk kira nak menang saja, tak kisah Islam nak duduk mana. Adakah PAN hari ini bersuara kepada DAP berkait dengan isu-isu Islam? Isu perundangan, pendidikan dan institusi Islam? Mereka tak ada suara,” bidasnya.

Jelasnya, dakwah PAS tetap mahukan orang bukan Islam bersama sebagaimana dibuktikan dengan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan sentiasa terbuka dengan mereka.

PAS juga tegas beliau, sama sekali tidak mengamalkan politik yang menggadai prinsip dan dasar selain menolak perbuatan menimbulkan persepsi dan emosional dalam politik.

“PH parti yang hidup dengan persepsi, emosional. Dia timbul satu-satu isu tak kira betul salah, bohong, fitnah. Kata macam-macam. Negara bankrap, hutang negara begitu begini. Bila boleh memerintah tengoklah. 

“Tak boleh jawab, salahkan titik. Hari ini mereka telan muntah sendiri. Kata mereka cerdik sangat, kaji itu ini buat manifesto. Tapi Janji 100 Hari, mereka tak tunaikan,” ujarnya menyingkap pelbagai pembohongan PH. – HARAKAHDAILY 27/12/2018