Santuni ahli Umno dengan akhlak, ilmu

UIA01

PERTARUNGAN PAS dan Umno begitu lama sejak daripada tahun 1951. Kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini mempunyai sejarah hitam yang lama. Saya secara peribadi juga mempunyai sejarah pertarungan yang lama sejak kecil lagi.

Advertisement

Keputusan PRU14 memberi makna kepada kedua-dua pemimpin untuk muhasabah kembali. Inilah masanya untuk salam ukhuwah dihulurkan bagi mencari titik persamaan. Memang sukar, tetapi itulah pengorbanan perasaan dan emosi yang terpaksa dilakukan.

Jika pihak Pakatan Harapan (PH) boleh bersatu untuk mencapai agenda mereka. Pergaduhan mereka lebih parah sebelum ini. Sehingga kita tidak sanggup untuk dengar. Kenapa kita tidak boleh? Walaupun selepas mereka menang, kita dapat lihat dan rasai sekarang.

Apa yang kita lakukan bukan untuk masa depan kita, tetapi ialah untuk agama, anak cucu dan negara yang tercinta. Tidak ada makna kita bergaduh, seperti pepatah menyebut ‘alu dan lesung berlaga, yang kenyangnya ayam’.

Lebih mudah untuk mempertemukan dua parti terbesar ini kerana satu agama, satu bangsa, satu kariah masjid, satu kampung, satu lahjah bahasa, satu menu makan (budu, sambal belacan, cincaluk).

Ahli PAS mesti santuni dengan akhlak dan ilmu. Inilah daya penarik yang berkesan.

Yakinlah bahawa untuk mengangkat martabat bangsa dan negara mesti berteraskan Islam. Tidak boleh dengan semangat bangsa atau kebendaan semata-mata. Tidak ada jalan yang selamat untuk menyelamatkan negara dan bangsa melainkan dengan Islam.

Islam selamat, Melayu selamat dan bangsa lain juga akan selamat.

Memang ada pihak yang cemburu dengan kemesraan ahli PAS dengan ahli Umno. Mereka juga ada hati untuk memujuk pemimpin dan ahli Umno, walaupun sebelum ini bermacam-macam gelaran yang diberikan.

Mereka menggunakan media sosial dan portal upahan untuk memastikan ahli PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama. Cybertrooper yang menyamar ahli PAS dan nama Islam berkeliaran untuk adu domba supaya merenggangkan hubungan antara kedua-dua parti. Mereka cuba ungkit sejarah lama supaya permusuhan disubur semula.

Nampaknya majoriti ahli Umno yang ikhlas tidak berminat bersama PH walaupun banyak pujuk rayu dan umpan hendak diberikan.

Kata-kata Saidina Umar al Khattab menjadi renungan kepada kita bersama bermaksud: “Kembali kepada kebenaran, lebih baik daripada kekal atas kebatilan”.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
27 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 27/12/2018