Umno masih relevan, perlu bangkit semula

PAS berpandangan Umno sebagai sebuah parti teras dalam politik Malaysia, khususnya sebagai parti pembangkang kini, perlu terus diperkasakan strukturnya demi membolehkan Umno berperanan menyuburkan amalan demokrasi dalam negara ini.

Advertisement

taki3PAS merasakan kepimpinan baru Umno yang diterajui oleh Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamad Hasan, perlu diberikan peluang untuk merangka strategi bagi memimpin jutaan ahli Umno yang memerlukan hala tuju dan menjalani cara ‘berpolitik baru’ terutama selepas tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

PAS akan terus bersama-sama dengan semua parti-parti lain dalam konteks solidariti pembangkang demi memastikan wujudnya semak dan imbang (check and balance) dalam Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan terutama melalui nasihat dan menawarkan opsyen-opsyen terbaik agar Kerajaan dapat berperanan demi kepentingan rakyat dan negara.

PAS juga sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kepimpinan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, dalam setiap langkah yang diambil bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 27 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 27/12/2018