Perpaduan Islam (Siri 1)

Umat Islam wajib bersatu teguh

Advertisement

UMAT Islam wajib bersatu. Jangan berpecah belah justeru itu adalah larangan Allah swt. Lihat penyata wahyu:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecahbelah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Aali Imran: 103)

Perpaduan adalah kalimah suci dan mulia namun bergantung kepada objektif dan matlamatnya. Bersatu padu mestilah diikat dengan Tali Allah iaitu Al Islam.

Kebenaran tidak boleh bersatu dengan kebathilan malah wajib berpisah dan berpecah antara Haq dan Bathil. Ia telah ditegaskan oleh Allah swt:

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan (janganlah) kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah Al Baqarah: 42)

Menyatupadukan umat Islam bagi mengembalikan kekuatan ummah dan menjulang kemuliaan Islam wajib dilakukan dan diterima secara positif oleh semua pihak.

Perpecahan umat Islam akan memulangkan fitnah kepada Islam dan ummatnya. Kecelakaan dan kebinasaan bakal menimpa mereka. Hilang kekuatan dan kehebatan ummah di mata musuh-musuh Islam. Lihat bagaimana Allah swt membuat ketetapan:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain; kalau tidak nescaya kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. (Surah Al Anfaal: 46)

Musuh Islam memang sesak nafas dan sebak dada menyaksikan usaha ummat Islam menyatupadukan saf mereka dengan Islam menjadi agenda utama.

Sememangnya mereka tidak mahu umat Islam bersatu padu, sebaliknya mereka mahu umat Islam selamanya berpecah belah.

Propaganda Musuh Islam

Pelbagai propaganda dan provokasi dicetuskan agar umat Islam terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan.

Saat umat Islam pecah dan retak, mereka datang dengan gerakkerja yang terancang untuk menghancurkan umat Islam secara berperingkat.

Ia telah didedah oleh Allah swt bagaimana pelan tindakan dan modus operandi musuh Islam.

وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً

Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. (Surah An Nisa’: 102)

(bersambung)