Sambut 2019 dengan syukur, bukan berpesta

DEWAN Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) menyarankan agar semua pihak menyambut Tahun Baharu 2019 dengan majlis dan acara berbentuk kesyukuran.

Advertisement

Berlalunya 2018 merupakan satu anugerah yang cukup besar dan bermakna. Pasti setiap orang telah melaluinya dengan pelbagai situasi. Kemungkinan ada yang melaluinya dengan penuh ketenangan dan kegembiraan malah mungkin ada yang melaluinya dengan penuh dugaan dan cabaran.

Apapun yang dilalui semuanya pasti memberi pengajaran. Masing-masing mendapat pengalaman baru dalam menempuh kehidupan mendatang.

Semua pihak sama ada perseorangan atau mana-mana kumpulan dan institusi masyarakat mesti menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang didapati.

Maklumat yang kami terima, masih ada majlis-majlis sambutan tahun baharu yang diadakan dengan pesta-pestaan dan hiburan melampau. Saya kira sambutan seumpama ini tidak menggambarkan nilai sebenar masyarakat kita. Percampuran secara bebas sehingga larut malam boleh mengundang pelbagai masalah sosial dan keselamatan.

Di samping itu, sambutan yang berlebihan juga pasti mengundang pembaziran.

Saya menyarankan lebih baik sambutan tahun baharu diadakan bersama keluarga atau dengan program-program berbentuk kesyukuran dan doa.

Kita perlu memohon doa daripada Tuhan supaya negara kita dan Negeri Sabah khususnya akan menjadi lebih makmur dan sentiasa selamat daripada apa-apa bencana.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
29 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 29/12/2018