DAP boleh ugut semua

LIM Kit Siang sebagai Bapa DAP sudah dikira mengugut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan gabungan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila dia dikatakan sedia membawa DAP keluar dari kerajaan dan pakatan itu jika program Malaysia Baharu tidak disempurnakan seadanya.

Advertisement

DAP dipercayai kini berada dalam kedudukan berupaya membuat tekanan itu atau boleh dikira peras ugut kepada semua kerana politik hari ini berada dalam genggamannya.

DAP kini bukan sekadar memiliki kerusi Parlimen dan Adun di banyak negeri yang boleh menentukan keputusan, bahkan menentukan kemenangan calon-calon semua parti dalam pilihan raya.

Tidak ada Waibi PH bukan DAP yang menang PRU14 lalu tanpa tentuan DAP. Sejantan-jantan Brother Anwar Ibrahim dan keluarganya disangsi menang jika DAP tidak memberi restu padu.

Sama ada DAP ada majoriti penyokong di satu-satu konstituensi atau tidak, ia boleh mempengaruhi kemenangan calon PH bukan DAP.

Siapa agak Dr. Mahthir boleh kalah di Kota Setar Selatan kepada Haj Yusof Rawa dari PAS dalam PRU 1969 tidak sepakatan penyokong MCA dan DAP tidak memberi undi kepada calon Perikatan di situ, iaitu Dr. Mahathir.

Kedah adalah kawasan kuat Perikatan dan Umno adalah lebat di kawasan itu dibandingkan dengan lain-lain parti. Tetapi benih anasir DAP yang mulai ada sejak itu berjaya menumpaskan Mahathir yang dikira Lee Kuan Yew masa itu sebagai ultra Umno.

Roh pengundi Kota Setar Selatan itu ada pada pengundi zaman ini. Ia bukan sekadar meninggalkan MCA dengan satu batu nisan di Parliman, bahkan mempengaruhi kejatuhan BN sekalipun DAP tidak menjadi pemenang teramai di Parlimen. Ia tidak sebanyak kerusi PKR tetapi pengaruh di belakang kemenangan semua PH yang memakai lambang PKR.

Orang nampak pengaruh semasa adalah Dr. Mahathir dan PKR dengan semboyan Reformasinya, tetapi pengaruh penentu perubahan itu adalah DAP. Penyokong PKR dan PAN tidak cukup untuk memenangkan mereka, tetapi deposit dari DAP menjadikan mereka raja baru.

Mahathir hanya ada nama sebagai bekas PM dan pemimpin Umno menjadi gendang bagi membuang Umno/BN tetapi nisbah pengundi mencukupkan kemenangan PH itu ada pada DAP. Mahathir cuma jadi ketua tak berorang dalam PH. Yang berorang dari DAP dan PKR. Jika PKR saja, ia tidak ke mana juga.

Tuah Mahathir adalah sama dengan tuah Bersatu di Perak. Yang memerintah Perak adalah PH. Bersatu hanya Menteri Besar seorang. Atas nyawa DAP ia hidup.

Dengan pengaruh di belakang DAP yang demikian itulah yang mencorak kerajaan yang dibentuk Mahathir.

Banyaklah yang menguntungkan DAP dari pemerintahan itu. Dibandingkan dulu ia tiada apa dalam kerajaan Putrajaya, yang ada padanya sekarang sudah banyak walaupun tidak sebanyak yang ia hendak dan ia boleh dapat.

Mahathir dan Anwar kini bukanlah mereka yang dikenali dulu. Jika tidak tinggu pro-DAPnya, mereka bukan Mahathir dan Anwar sekarang. Inilah masa DAP untuk mengisi semua. Esok adalah hari lain. Jika diisi sekarang, esok belum tentu.

DAP tidak memadai sekadar yang ada. Maka ia mengeluar amaran kepada semua. PAS Kelantan pun diugutnya. Bantuan kewangan hanya untuk membayar gaji. Yang lain ikut keadaan.

Sekarang jika pusat tidak memuaskan DAP, ia ugut untuk keluar PH. Ia amat menyusahkan Anwar dan PKR. PKR perlu menyabarkan, akan ada masa kemahuan DAP dapat dipenuhi. – HARAKAHDAILY 30/12/2018