2019: Sedia laksana tugas dengan lebih baik

DARI tarikh 9 Mei sehingga 31 Disember 2018 adalah suatu tempoh masa yang sukar nak diungkapkan dengan bait-bait tulisan.

Advertisement

Jujur saya maklumkan bahawa bangunan Wisma Darul Iman (WDI) hanya saya pijak sekali sahaja pada tahun 1985 ketika dalam darjah 5 Sekolah Kebangsaan Tembila. Kebetulan sekolah ada buat lawatan sambil belajar ke Kuala Terengganu. Dengan tambang RM5 sampailah saya ke Kuala Terengganu. Antara tempat yang dilawati ialah Wisma Darul Iman. Masuk dalam Dewan Undangan Negeri untuk dengar taklimat, saya duduk di kerusi YAB Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Tempoh ketika zaman pemerintahan PAS 1999 – 2004, saya tak pernah sampai ke Wisma Darul Iman. Apatah lagi di zaman Kerajaan BN dari 2004 – 2018.

Akhirnya pada tanggal 13 Mei 2018, buat kali kedua dengan penuh rasa tawaduk saya melangkah memasuki Wisma Darul Iman. Tapi bukan lagi sebagai tetamu dalam lawatan sambil belajar. Diberikan sebuah bilik pejabat di tingkat 6 WDI yang bagi saya seorang anak kampung kelas cap ayam, ianya terlalu mewah. Maka bermulalah satu episod baru kehidupan yang merubah 360 darjah rutin harian saya.

Dalam tempoh sekitar 7 bulan, memang saya belum berpuas hati dengan prestasi kerja diri sendiri. Ianya terlalu jauh untuk mencapai penanda aras yang saya letakkan sebagai cabaran untuk digapai.

Sekadar untuk penyedap hati, saya kongsikan sedikit kejayaan yang tak seberapa kepada sektor pertanian Negeri Terengganu dan perkhidmatan kepada rakyat di Jabi:

●     Penubuhan Hub Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan yang pertama di Malaysia bertempat di Kg Tempinis Jabi. Suatu projek kerjasama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan MESTECC.

●     Melengkapkan Makmal Kualiti Madu Pantai Timur yang dibina hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dan UMT. Inilah makmal seumpamanya yang pertama diwujudkan di Pantai Timur.

●     Kali pertama menganjurkan program mega Road To MAHA bertempat di Mardi Kuala Terengganu.

●     Penubuhan pusat pemprosesan susu kambing menggunakan teknologi moden di Pusat Pengembangan Veterinar Jenang Marang.

●     Menamatkan penantian sejak dari merdeka penduduk sebuah kampung dengan pembinaan Jalan Kampung Jebak Puyoh Jabi.

●     Negeri Terengganu mendapat Naib Johan Pavilion semasa MAHA 2018.

Ini hanya sedikit kejayaan yang tak seberapa. Kita jumpa lagi tahun depan insyaAllah. Selamat Tahun Baharu 2019.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 2/1/2019 

FB IMG 1546398944239