Hutang RM1 trilion: Alasan yang sudah lama dirancang

HARI ini Menteri Kewangan menyatakan bahawa Pakatan Harapan memerlukan masa tiga tahun untuk memulihkan kewangan negara kerana terpaksa menanggung masalah skandal 1MDB, hutang negara RM1 trilion dan kegagalan dasar kerajaan yang lepas.

Advertisement

Realitinya, semua masalah itu sudah pun diulang-ulang sejak sebelum PRU14 lagi. Pakatan Harapan sering kali pada hari ini sama ada di dalam Parlimen mahupun di luar, mengulangi alasan hutang RM1 trilion sebagai penyebab mereka gagal untuk melaksanakan janji manifesto.

Sedangkan sewaktu merangka Manifesto Pakatan Harapan itu sendiri yang meletakkan garis masa 100 hari untuk janji-janji tertentu, mereka sudah pun mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia menanggung hutang RM1 trilion.

‘Hutang RM1 trilion’ inilah yang menjadi modal pimpinan Pakatan Harapan untuk berkempen di dalam Pilihan Raya Umum yang lepas. Bahkan Tun Dr Mahathir sendiri pada tahun 2016 menyatakan bahawa Malaysia sedang berhutang sebanyak RM900 bilion – satu angka yang secara logiknya pada tahun 2018 tidak mustahil mencecah RM1 trilion. 

Kesimpulannya, pimpinan PH sewaktu merangka manifesto dalam sedar dan tahu bahawa hutang negara RM1 trillion. Tetapi mereka ‘pura-pura terkejut’ dan tidak sedikit di dalam dewan rakyat yang mendakwa bahawa ‘kami tidak tahu hutang negara 1 trilion’ sewaktu merangka manifesto.

Saya mohon, azam tahun 2019 ini, janganlah berbohong.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas HARAKAHDAILY 2/1/2019