Mentajdidkan Pendidikan Negara (Siri 2)

PENDIDIKAN telah menerima perhatian sangat tinggi semasa negara ini mula dibangunkan sehingga seperempat Belanjawan Negara setiap tahun diperuntukkan kepadanya. Namun, segala itu berubah setelah pemerintah yang bermentaliti Kapitalis melihat rakyat sebagai peluang untuk menjana pendapatan dan kekayaan. Mangsanya, sektor pendidikan turut dijebak ke kancah perniagaan yang terpalit sama monopoli, kronisme, nepotisme serta salah guna dana dan seumpamanya.

Advertisement

Hinggalah antara cara bijak para pengaut keuntungan ini untuk mudah dan cepat bagi ‘menyedut’ uncang rakyat adalah dengan memperkenalkan undang-undang yang berkaitan. Sedangkan pendidikan adalah keperluan setiap rakyat dan menjadi tanggungjawab tertinggi atau Fardu Ain kepada kerajaan. Bahkan dalam Perlembagaan Malaysia tercatat biasiswa dan danasiswa sebagai antara keistimewaan diperuntukkan kepada peribumi ini. 

Lantaran itulah pada tahun 1996 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diperkenalkan, disusuli tahun berikutnya dengan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ya, positifnya penggubalan akta ini menjadi jaminan, pemeliharaan, kawalan, pengurusan, pentadbiran serta segala tatacara berkaitan. Namun, secara halus juga ia kelicikan bagi mereka yang sentiasa ghairah dengan wang.

Ironinya, sejak itu IPTS tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negara ini hingga dikatakan menjangkau 500 buah di seluruh Malaysia, sedangkan Universiti-universiti Awam (UA) tidak diperkasakan sewajarnya. Setiap lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menerima berpucuk-pucuk surat tawaran pengajian yang menggiurkan walaupun mendapat keputusan sangat minimum. Kerana kemudahan disediakan iaitulah pinjaman PTPTN yang ramai tidak sedar di kemudian hari menjadi bagaikan lubang ‘perangkap’.

Kemampuan dimiliki negara

Secara umum sejak dari itu hingga kini atau dalam 10 tahun ini, kerajaan telah melabur untuk PTPTN tidak kurang RM50 bilion atau sekitar RM5 bilion setahun. Jumlah itu terlalu kecil sekiranya mahu dibandingkan dengan segala sumber kekayaan hasil mahsul mineral negara, serta keamanan dan kestabilan yang menarik pelaburan luar ke sini. Kemampuan sebenar Malaysia adalah memberi pendidikan percuma terutama untuk peringkat rendah dan menengah. Manakala dasar biasiswa dan danasiswa dikembalikan bagi keperluan UA.

Ke arah mencapai status negara maju, Malaysia amat memerlukan intelektual yang dilahirkan dari ‘rahim’ pendidikannya sendiri. Kerana modal insanlah aset terbesar yang diperlukan bagi menguruskan negara pada masa akan datang. ‘Sekatan’ untuk memberikan biasiswa dan danasiswa oleh angkara politik yang lalu sebenarnya telah memperlahankan perkembangan negara. Bandingkan secara jujur Malaysia dengan beberapa negara di Asia Tenggara ini terutama dalam bidang industri. Sistem yang tidak memberi peluang terutama kepada tenaga pakar dilahirkan negara, akhirnya mereka memilih bekerja di luar negara.

Alternatif kepada keperluan pembiayaan ini juga, Pemuda PAS pernah menyuarakan supaya diwujudkan Perbadanan Tabung Wakaf Pendidikan Tinggi Nasional. Hal ini bukan baharu, kejayaan pelaksanaannya dapat diteladani sebagaimana oleh Universiti Harvard di Amerika Syarikat dan Universiti Raja Abdullah di Arab Saudi dengan masing-masing dana wakaf sebanyak USD40 bilion dan USD10 bilion. Daripada tabungan ini memberikan kemudahan kepada pihak universiti dan juga mahasiswa untuk belajar secara percuma. 

Kerana itu, ianya bukan satu idea yang terawang-awangan tidak menjejak di bumi nyata. Bahkan jika sekiranya Perlembagaan Malaysia dipatuhi berkaitan peruntukan pendidikan seperti dinyatakan, isu tunggakan hutang daripada para graduan peminjam PTPTN tidak akan berbangkit sama sekali. Malangnya, mereka dihambat kejar, disenarai hitam, dikena sekatan hingga usulan terbaru mahu membuat potongan gaji. Tentu terlalu sukar dengan jumlah gaji kurang RM2,000 mereka dapat membayar hutang tersebut, sedangkan bagi kategori B40 terendah dalam negara iaitu Kelantan pun memiliki pendapatan isi rumah RM2,570.

‘Putaran ganas’ masalah

Mereka tidak dapat membuat pinjaman dari institusi kewangan bagi pembiayaan rumah dan kenderaan, atau mahu melanjutkan pengajian lebih tinggi. Akibatnya untuk ke tempat kerja juga sukar ditambah payahnya mendapat pekerjaan pada ketika ini kerana bersaing dengan tenaga pakar yang ‘diimport’ atau bekerja tapi bukan sebagaimana latar belakang bidang kepakaran atau kelayakan akademik. Banyak implikasi negatif sampingan yang timbul di mana ia secara tidak langsung menjejaskan produktiviti untuk negara.

Maka kesilapan Legislatif memperkenalkan Akta IPTS dan PTPTN serta kegagalan Eksekutif melaksanakan peruntukan Perlembagaan Malaysia berkaitan pendidikan itu harus ditebus. PAS sebagaimana telah dimaterikan pada PRU14 lalu dalam Manifesto Gagasan Sejahtera, sekiranya diberi mandat memerintah akan ‘bail out’ semua tunggakan hutang PTPTN tersebut dan menuju ke arah memberi pendidikan percuma menjelang tahun 2051.

Ianya mengatasi segala kewajaran daripada tindakan pemerintah lalu yang telah ‘bail out’ MAS, PKFZ, PERWAJA Steel dan beberapa lagi tindakan ‘menyelamatkan’ kroni konglomerat yang gagal. Sedangkan PAS mahu menyelamatkan keseluruhan rakyat antaranya 663,000 graduan tertunggak hutang itu kerana tidak mampu atas pelbagai faktor yang sebenarnya tercipta oleh polisi dan dasar pemerintah sendiri. Apatah lagi PAS melihat golongan cerdik pandai intelektual dari kalangan graduan ini adalah potensi dan masa depan yang bermanfaat kepada negara.

Kerajaan sejak dahulu tidak berjaya mengecilkan jumlah pengangguran terutama golongan belia termasuk para graduan dalam negara. Malah masih jauh untuk dicapai atau dipenuhi ialah nisbah pekerjaan tertentu yang kini menjadi keperluan mendesak rakyat, antaranya guru dan doktor. Semuanya gara-gara polisi dan dasar kerajaan juga sama ada ketika proses ‘kelahiran’ yakni tiadanya lagi biasiswa dan danasiswa untuk pengajian di bidang tersebut, malah juga tawaran skim gaji yang sangat tidak menarik. Apatah lagi sepanjang pengajian yang menjerihkan, graduan perubatan berhadapan kos sangat tinggi. Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pula sebelum ini mahu ditutup dan ditukar ganti fungsinya, makin mengurangkan jumlah ‘kelahiran’ guru.

Kini, alasan paling popular diberikan kerajaan adalah negara mempunyai hutang yang banyak. Tetapi perlu diingat bahawa pendidikan tetap tanggungjawab kerajaan yang sangat penting, tidak boleh diabaikan, jauh sekali diperniagakan dalam sebarang situasi. Paling penting juga kerajaan mesti serius mendepani alasan tersebut dengan tindakan jitu dan padu, terutamanya memerangi salah guna, penyelewengan, ketirisan dan rasuah yang telah banyak menyusutkan wang negara. Malangnya, sejak menerajui pemerintahan dari Mei lalu, Kerajaan PH juga gagal mengurus kewangan sebagaimana yang ‘diharapankan’.

Kini, usia Akta IPTS dan PTPTN semakin meningkat, namun tetap belum terlambat untuk kerajaan menelitinya semula. Solusi yang mengutamakan pencapaian hasrat dan dasar pendidikan negara serta menguntungkan rakyat mestilah menjadi fokus. Tamatkan kesilapan lalu dan kembalikan segala hak yang akan menjadikan sektor pendidikan berfungsi di atas landasan dan acuan untuk mencapai tujuan-tujuan negara serta masa depan.

Sekian. Bersambung.

Oleh:
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

3 Januari 2019 | 26 Rabiulakhir 1440 – HARAKAHDAILY 3/1/2019