Kaji punca remaja lepak larut malam

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan melaksanakan kajian lebih menyeluruh bagi mengenal pasti punca masalah belia melepak di kedai-kedai makan sehingga larut malam.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, antara usaha yang dicadang bagi mengurangkan gejala itu termasuk menghadkan waktu operasi premis berkenaan sehingga 10 malam.

Katanya langkah itu sebagai usaha kerajaan bagi mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.

Menurutnya cadangan mengenai langkah tersebut dikemukakan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita bagi menangani masalah sosial.

“Bagi saya kena buat kajian dahulu apa yang menjadikan punca mereka keluar malam, mesti ada tarikan tersendiri.

“Kemungkinan ada kedai yang beroperasi sehingga larut malam. Boleh jadi pengecualian bagi kedai-kedai makan berhampiran hospital dan stesen bas,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2019 dan Perhimpunan Pejawat Awam di Dewan Jamuan Utama Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini anggota Exco kerajaan negeri Mumtaz Md Nawi mencadang pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam melibatkan golongan remaja bagi mengatasi gejala sosial di Kelantan.

Menurutnya antara negara yang melaksana peraturan itu termasuk Amerika Syarikat, Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom. – HARAKAHDAILY 3/1/2019