Eh, sunnah ke tak ini?

SAYA segera menghubungi rakan-rakan lama saya yang tinggal di sekitar Kampung Guar Syed Alwi, Taman Jali dan kawasan yang berdekatan Kangar, Perlis selepas membaca berita mengenai penamatan kontrak dan pertukaran 25 imam-imam di beberapa masjid di Perlis. Jelas maklumat yang didapati, tindakan ini tidak wajar bagi sesetengah tempat, di mana kariah di situ, menyukai imam-imam yang dikenakan tindakan itu.

Advertisement

Saya bersama mereka ini selama lebih kurang empat tahun setengah, ketika bertugas di Perlis. Sebagai jiran, saya mengenali Imam Din (Kamaradin Napiah) yang ditamatkan kontraknya dan adik beliau Baharuddin Napiah yang ditugaskan ke kariah Tok Kuning, kira-kira 10km dari lokasi sekarang. Mereka berdua juga adalah abang kepada penyanyi nasyid tanah air, Ustaz Amaluddin atau Ustaz Amal.

Ketika itu, sekitar tahun 2002-2006, Imam Din sudah menjadi imam muda Masjid Saidina Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi itu. Manakala adik beliau Baharuddin, menjadi bilal. Wajah beliau selalu mengukir senyum bila bertemu saya. Sentiasa bertanya khabar, tutur katanya lembut, sentiasa terbuka menerima pandangan, melapangkan rasa hati. Terkadang ketika ada majlis ilmu di Surau Taman Jali, taman perumahan bersebelahan, dia datang menimba ilmu bersama-sama jemaah lain, jika tidak bertugas.

Imam Din juga membuka rumah beliau menjadi pusat mengajar al-Quran secara percuma. Suka benar dia dengan kanak-kanak. Selalu mengusik, menyebabkan kanak-kanak gemar berada dekat dengan beliau. Manakala dengan orang tua pula, beliau dihormati kerana keramahan dan akhlak beliau. Tidak kira parti, dia dihormati oleh semua. Begitulah cara beliau merapatkan jurang dengan kariah di situ. Anak-anak beliau juga alhamdulillah, saya lihat baik-baik semuanya. Pernah terjadi ketika bulan Ramadhan, ada peniaga di sekitar yang memulakan perniagaan bermula jam 11 pagi lagi. Saya mengadu kepada beliau, kerana melihat ramai anak-anak muda lelaki yang membeli makanan seawal jam 11 pagi. Setelah disiasat dan beliau berpuas hati dengan aduan itu, beliau secara baik menegur peniaga itu. Namun sebaliknya, beliau pula yang dimarahi.  

Sekali peristiwa, anak beliau juga terfitnah atas tuduhan melakukan yang tidak baik kepada wanita. Di sinilah kita melihat pentingnya menjaga akhlak keluarga kita kerana, tiada seorang pun yang percaya anak beliau melakukan perbuatan hina itu sebab mereka yakin dengan didikan akhlak Imam Din ke atas anak-anak beliau. Dan ternyata anak beliau dibebaskan setelah mendapati wanita itu membuat cerita palsu, bagi mendapatkan duit sahaja. Atas alasan itu, kariah di situ menyukai Imam Din sebagai imam masjid, tanpa ragu. Saya lantas teringatkan Hadis Rasulullah berkenaan imam yang tidak disukai oleh jemaah. Saya bukan orang agama, saya cuma teringat sahaja, jadi tertanya-tanya.

Di Perlis, ada beberapa masjid yang menjalankan aktiviti ibadat sama seperti di tempat lain iaitu membaca qunut ketika solat Subuh, wirid beramai-ramai selepas solat, membaca bismillah kuat waktu solat malam. Antara masjid itu ialah Masjid Saidina Umar al-Khattab dan Masjid Bohor Mali, Simpang Empat. Masjid Bohor Mali ialah masjid kampung asal almarhum Dato’ Dr. Haron Din, yang kebetulannya juga menjadi tempat mula-mula saya menyewa sebelum berpindah ke Taman Jali. Penduduk kampung di situ tidak pernah ada masalah dengan amalan tersebut.

Arahan untuk membuang bacaan qunut dalam solat Subuh ini sudah berlaku sekitar tahun 2006. Ketika itu salah seorang pegawai agama memberitahu saya yang beliau diarahkan melaksanakan perintah itu. Beliau kemudiannya memaklumkan kepada ketuanya, yang beliau tidak boleh mengharamkan apa yang Nabi tidak haram. Begitulah ajuknya kepada saya. Maka arahan itu ditangguhkan. Tetapi ada arahan lain atas nama bidaah seperti papan tanda plastik yang mengingatkan jemaah supaya membaca niat tahiyyatul masjid yang ditampal di dinding-dinding masjid, supaya dipatahkan. Maka beramai-ramailah mereka mematahkannya. Bidaah kata mereka. Entah, saya kurang arif. 

Pernah ketika mula-mula arahan supaya membaca bismillah tidak dikuatkan, seorang imam yang sudah terbiasa dengan membaca bismillah kuat, tersalah dengan membaca kuat bismillah itu. Lama imam itu senyap setelah tersasul, mungkin takut diambil tindakan, sebelum meneruskan bacaan Fatihah. Ada cerita yang dikisahkan oleh orang tua-tua kepada saya, Mufti Perlis, Dato’ Alim Panglima Mat Jahya Hussin, ayah kepada Dr Fathul Bari pernah diserbu selepas solat oleh makmum kerana membaca bismilah kuat.

Dahulu, pertelingkahan ini difahami oleh ramai orang berpunca kerana tidak mahu bermazhab. Mahu mengambil terus daripada Nabi kata mereka. Sehingga ada kata-kata penghinaan terhadap imam mazhab seperti, Syafie itu Nabikah? Sedangkan as-Syafie mengeluarkan Quran dan Hadis sebagai dalil. Tetapi yang saya pelik, kebanyakan serangan, terarah kepada Imam Syafie sahaja, tidak kepada imam mazhab yang lain. Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin pernah menegur kelantangan pihak yang menolak mazhab ini. Beliau memberi contoh imam mazhab ini diibaratkan sebagai peguam kepada kita kerana mereka faham patah-patah perkataan al-Quran dan Hadis, maka mereka mengeluarkan hukum. Lalu terdiamlah individu itu. Kemudian isu ini perlahan-lahan bertukar kenyataan kepada tidak terikat kepada mazhab yang satu pula. Jadi semua mazhab diterima dakwa mereka. Namun, apabila beramal dengan mazhab Syafie, kebanyakkan hal mereka anggap bidaah.  

Beberapa sisi lain Perlis yang saya sempat lihat ialah terdapat beberapa kedai judi terbuka dan berlesen di Perlis. Di Kangar, Kuala Perlis dan Padang Besar. Ini agak membingungkan saya kerana setahu saya, tiada agama di dunia ini yang menghalalkan judi. Berlainan dengan arak, ada kelonggarannya. Dun Perlis mempunyai 15 kerusi. Hanya dua kerusi diwakili kaum Cina. Satu di Titi Tinggi dan satu lagi di Indera Kayangan. Dahulu ia adalah kerusi tetap MCA. Manakala rakyat Perlis yang pada ketika 2005 kira-kira seramai 250 ribu orang, majoritinya Melayu beragama Islam dengan sedikit keturunan Siam beragama Buddha. Jadi apa kepentingannya mempunyai kedai judi sehingga Mufti dan Kerajaan Negeri yang dipimpin orang Islam itu, tidak boleh meniru Kelantan dan Terengganu mengharamkan judi? Adakah judi begini dipanggil rukhsah?

Ketika saya tinggal di sana juga, Jom Heboh ialah suatu karnival yang dinanti-nanti oleh orang ramai di Negeri Perlis Darul Sunnah ini. Suatu ketika, sewaktu jemaah masih belum menghabiskan solat mereka di Masjid Putra, berdekatan dengan stadium tempat berlangsungnya Jom Heboh, sudah kedengaran jelas lagu Jesnita nyanyian Kumpulan Exist didendangkan. Agak menghairankan juga kerana yang mempelopori Perkampungan Hadhari, iaitu konsep yang sama dengan Jom Heboh, tetapi diisi dengan acara-acara keagamaan dimulakan oleh negeri yang tidak diakui ke’sunnah’annya. Manakala negeri sunnah disibukkan dengan konsert. Mungkin itu isu khilaf sahaja.

Semua ini saya bercakap atas pengalaman saya tinggal di sana. Atas dasar itu, saya hanya berkongsi dengan sedikit kerutan di dahi memikirkan kontra beberapa pengamalan sunnah dengan apa yang sepatutnya. Kadang-kadang saya tertanya-tanya eh, sunnah ke tak ini? Kerana apabila saya berdiskusi dengan ustaz-ustaz untuk kepastian, mereka bersetuju dengan beberapa perkara yang tidak dilakukan dengan kehendak agama. Kedai judi pastinya salah satu. Jadi, tidaklah menghairankan sangat jika terdengar maklumat yang mereka juga tersasar dari landasan mereka kerana mereka juga manusia. Tetapi agak mengecewakan apabila mereka turut masuk campur hal negeri orang apabila berlaku sesuatu isu, bagaikan agamawan negeri lain tidak tahu agama.  

Bersabarlah Imam Din dan Imam Bah. Semoga segala kebaikan anda akan menjadi pahala. Orang kampung kenal, Allah juga kenal, tiada gundah gulana. Hormat tidak dapat dibeli, ia hadir dari dalam hati yang mengenal hati. Itulah ikatan yang sebenar-benarnya.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
4 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 4/1/2019