Lepas 28 tahun Umno kalah lagi

SELEPAS diberi percubaan 11 tahun memerintah Kelantan, dalam tahun 1990 Umno kalah besar di Kelantan. PAS yang menang semula kali itu mewarisi hutang yang banyak dari kerajaan yang digantinya, seperti banyaknya hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Harapan apabila Umno kalah pada PRU14 tahun 2018.

Advertisement

Walaupun Umno pernah kalah di Terengganu tahun 1999 dan Kedah tahun 2008, tetapi kalah di Kelantan tahun 1990 itu boleh dikira kalah mati pertamanya. 28 tahun kemudian ialah kalah pula di Putrajaya kecuali dua buah negeri Pahang dan Perlis.

Sehingga 28 tahun ia tidak boleh berkuasa semula di Kelantan, apakah ia boleh menebus kekalahannya di Putrajaya itu?

Hanya Allah yang tahu.

Ketika ia kalah Mei 2018 ia masih beroleh anggota parlimen (MP) yang besar, maka tidak diagak kalahnya itu satu kalah mati. Tetapi selepas tujuh bulan hilang kuasa, dekat separuh MPnya tadi meninggalkan partinya menyebabkan kembali berkuasa bertambah payah.

Jika ia menunggu 28 tahun gagal kembali di Kelantan, payah memikirkan ia boleh kembali ke Putrajaya dalam masa 28 tahun akan datang dan tidak dapat dipastikan ia ada lagi atau tidak masa itu.

Semasa ia kalah teruk di Kelantan 28 tahun dulu ia masih punya panglima gagah berani yang ramai. Ia ada Dr Mahathir, ada Ghafar Baba, ada Anwar Ibrahim, ada Tengku Razaleigh dan ada Najib.

Yang tinggal Tengku Razaleigh mungkin ada gusi saja. Mahathir dan Anwar hari ini ikut menggigit daging Umno hingga tinggal tulang.

Sekalipun Umno dikalahkan pembangkang pimpinan bersama Mahathir-Anwar tetapi Umno tidak lumpuh masa ia kalah itu. Tetapi kini ia seolah dilumpuhkan oleh orang Umno sendiri dan sesungguhnya kini Umno yang tinggal digigit oleh orang-orang Umno sendiri yang kulitnya Umno tapi hatinya Umno palsu.

Yang hendak menghapuskan Umno sekarang bukan PAS dan bukan DAP. Umno tak mati oleh PAS dan DAP. Yang sedang hendak mematikan Umno ialah dua gergasi Umno dulu, Mahathir dan Anwar.

Dalam Umno sudah tiada gergasi. Zahid Hamidi seolah gergasi kecil berdepan gergasi besar. Dia tersepit dalam khemah Najib. Jika Najib timbul dia pun timbul, jika Najib tenggelamlah dia bersama. Bolehkah Dato’ Muhamad Hasan yang menjalankan kerja Presiden Umno menjelang PRU15 nanti jadi gergasi?

Orang kata dua gergasi besar dalam suasana berlaga. Sekalipun dua gergasi saling berlaga, Umno yang tiada gergasi boleh mati tersepit.

Usahlah diramalkan hari depan Umno. Ia terus berada dalam suasana yang susah. Bolehkah kita bayangkan politik dan pilihan raya selepas PRU15 nanti berlangsung tanpa Umno. Atau mungkin dalam usia Mahathir dan Anwar nanti ada lagi Umno dalam pilihan raya?

Sama saja Mahathir ada, Anwar ada dan mereka berdua tiada, peranan Umno mungkin ada dalm sejarah.

Bintang yang masih tinggal dalam Umno ialah Khairy Jamaludin. Dia boleh jadi bintang jika Umno berorang. Jika Umno sudah tidak berorang bintang pun tidak boleh jadi bintang.

Jika Umno sudah tiada 20 tahun lagi, apa yang ada? Bersatu dan PKR ada. Kedua-duanya bergantung pada adanya dua gergasi. Yang pasti ada DAP.

Maka yang terus ada dan menunggu ialah PAS. Ia boleh bangun dan rebah. Lepas rebah ia bangun semula. Jika Umno ada lagi pilihannya adalah PAS. 69 tahun lalu Umno ikut menubuhkan PAS. Mungkin peranannya dulu tidak sia-sia. – HARAKAHDAILY 5/1/2019