Ameerah S. Alam persiap jentera penerangan dan dakwah

SHAH ALAM: Ameerah Kawasan Shah Alam telah menganjurkan Bengkel Pengucapan Awam yang telah dilangsungkan di SRITI Al-Ghazali, di sini semalam.

Advertisement

Bengkel siri pertama diikuti 35 peserta perbagai jawatan itu bertujuan memberi pendedahan awal, selain menggilap bakat baharu di kalangan anggota Muslimat.

Ianya sebagai persediaan untuk Muslimat PAS berada sama di barisan hadapan selaku jentera penerangan dan dakwah yang akan mendekati masyarakat.

Pada bengkel itu, para peserta mengikuti dua sesi yang disampaikan oleh bekas Juara Pendakwah Muslimah, Raudhatul Jannah Mohd Rozli dan Timbalan Pengarah Ameerah Malaysia, Nadirah Khalid.

Dalam pembentangan Raudhatul, beliau berkongsi tip-tip disamping aktiviti dan latihan yang merupakan kemahiran berhadapan situasi dan pendengar berbeza.

“Menjadi seorang ‘presenter’ sentiasa kena bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan. ‘Worse comes to worst‘ kadang-kadang moderator boleh bertukar menjadi panel,” ujarnya.

Nadirah pula berkongsi seni pengucapan dengan menekankan aspek penghasilan isi ucapan bersama latihan menyedia teks dalam masa terhad dan rakaman.

“Sebagai seorang jurucakap kita mesti sentiasa melakukan persediaan yang rapi sebelum perbentangan, banyakkan membuat ulang kaji dengan apa jua cara yang sesuai dengan kita, jangan bentang dalam keadaan kita tidak bersedia.

“Kerana sebagai jurucakap PAS kita membawa imej PAS dan sekiranya membentang dalam keadaan tidak bersedia dakwah yang disampaikan pun tidak sampai,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2019