Elak buat sebarang spekulasi

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tanggapan liar perlu dielakkan kerana keputusan berkenaan merupakan hak baginda.

“Tiada orang tahu dan baginda sendiri pun tidak sebut mengenai perkara itu cuma dimaklumkan bahawa baginda letak jawatan, itu sahaja. Kita terima macam itu sahaja.

“Saya rasa tidak elok buat sebarang spekulasi, kita pun tidak buat spekulasi sebab kita tidak tahu dan tidak ada gunanya kalau kita hendak cari sebab sekali pun,” katanya selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Speaker Dun Dato’ Abdullah Ya’kob, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Dr Izani Husin.

Semalam Sultan Muhammad V mengumumkan meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 7/1/2019