Salasilah Kesultanan Pattani

MENGANALISIS salasilah Raja-raja Pattani memang menjadi masalah terbesar dalam menggali sejarah kerajaan ini. Ketiadaan sumber sejarah yang autentik akibat tercetusnya serangan Siam yang menghancurkan Istana Pattani dan bahan-bahan sejarahnya pada 1786M. Kini, kajian-kajian bergantung kepada enam kronik Melayu yang telah disebutkan sebelum ini, selain riwayat lisan penduduk tempatan. Diketahui bahawa Tarikh Pattani yang ditulis oleh Sheikh Faqih Ali adalah kronik tertua kerana beliau adalah cucu kepada Syafiyuddin al-Abbasi yang bergelar Tok Faqih Raja pada zaman Sultan Ismail Shah (1457-1530M). Raja-raja Pattani dikatakan berketurunan Raja Seriwijaya, Raja Jayawangsa yang memerintah empayar itu pada abad kelapan Masihi, selain berketurunan Raja Langkasuka. Seperti yang disebutkan oleh Tarikh Pattani, bahawa Raja Langkasuka adalah berasal dari keturunan Raja Seriwijaya, maka ia menyelesaikan satu isu mengenai asal-usulnya. Tetapi Sejarah Melayu mengatakan bahawa Cau Seri Bangsa, Raja Langkasuka itu adalah Raja Siam. Dipercayai, yang maksudkan oleh Tun Seri Lanang dengan ‘Raja Siam’ itu ialah Raja yang beragama Buddha, kerana Seriwijaya dan Siam kedua-duanya beragama Buddha, sedangkan rakyat Pattani sudah ramai yang memeluk Islam.

Advertisement

Tiga nama telah disebutkan oleh empat sumber berlainan iaitu Phya Tu Nakpa (mengikut sumber Hikayat Pattani), Anthira Wangsa (Catera Negeri Pattani dan Tarikh Pattani) dan Cau Seri Bangsa (Sejarah Melayu). Perbezaan ini boleh diselesaikan dengan melihat beberapa persamaan. Pertama, kesemua mereka dilaporkan adalah asalnya Raja di Kota Mahligai dan kemudian membuka Negeri Pattani dan memeluk Islam. Sejarah Melayu melaporkan Raja tersebut ialah Cau Seri Bangsa, sedangkan Hikayat Pattani melaporkan Raja tersebut ialah Raja Indera (Anthira) Wangsa, manakala Tarikh Pattani menyebutnya sebagai Raja Anthiradha Wangsa. Ketiga-tiga watak ini disebut oleh Catera Negeri Pattani tetapi sebagai anak-cucu kepada Raja Jayawangsa iaitu Seri Wangsa (anak), Indera Wangsa (cucu) dan Anthiradha Wangsa (cicit). Sedangkan kebanyakan pengkaji yang menerima Phya Tu Nakpa yang disebut oleh Hikayat Pattani, dikatakan Raja Pattani yang zahir beberapa ratus tahun kemudian, tetapi dari keturunan yang sama. Sehingga kini belum ditentukan dengan jelas siapakah sebenarnya Raja Kota Mahligai yang membuka Pattani dan memeluk Islam itu.

Dinasti Raja-raja Pattani

Sama ada Raja Pattani pertama yang beragama Islam itu ialah Sultan Ismail Shah (Phya Tu Nakpa) atau Sultan Muhammad Shah (Raja Anthira Wangsa) atau Sultan Ahmad Shah (Cau Seri Bangsa), ketiga-tiga watak inilah adalah keturunan Raja Jayawangsa atau dirumuskan oleh kebanyakan pengkaji sebagai Dinasti Seri Wangsa. Sepanjang sejarah Pattani sejak Islamnya kerajaan tersebut pada 1457M, dikatakan tiga dinasti telah memerintah Pattani iaitu Dinasti Seri Wangsa (1457-1649M), Dinasti Sultan Qunbul (Kelantan I) (1650-1786M) dan Dinasti Tuan Besar (Kelantan II) (1842-1902M). Sedangkan tempoh di antara 1786-1842M, Pattani diperintah oleh Raja-raja yang diangkat oleh Siam atau disebut sebagai ‘Raja-raja Patung’. Tiga Dinasti ini adalah seperti berikut:

I.     Dinasti Seri Wangsa 

Dinasti ini disebut juga sebagai Dinasti Hulu. Ia adalah Raja-raja dari keturunan Seriwijaya dengan Raja Seri Wangsa yang memerintah Langkasuka sebagai bapanya. Dinasti ini menguasai seluruh Kerajaan Pattani Islam sejak Islamnya Raja mereka pada 1457M sehingga berakhirnya zaman Raja Kuning pada 1649M.

II.     Dinasti Sultan Qanbul

Sultan Qanbul ialah Patih Aria Gajah Mada Kelantan yang merupakan anakanda Syed Hussein Jamadil Kubra, ulamak-pendakwah yang datang ke Kelantan pada 1345M. Baginda asalnya bernama Syed Nurul Alam, sebelum menjadi pembesar yang berpengaruh di Kelantan, Pattani dan Champa pada abad ke-15M. Melalui keturunannya yang memerintah Kerajaan Jembal di Kelantan, Raja Sakti (1650-1662M) telah menggabungkan Kelantan dan Pattani dalam satu pemerintahan pada 1650M sehingga Sultan Muhammad syahid dalam serangan Siam pada 1786M. Sebahagian besar Raja-raja ini adalah keturunan Wan Daim bin Andik Ali, Datu Pengkalan Tua atau Datu Jambu yang berasal dari keturunan Sheikh Syafiuddin al-Abbasi.

Setelah itu, Siam telah melantik enam orang Raja di Pattani antara tahun 1786-1842M.

III.     Dinasti Tuan Besar

Salah satu keturunan Wan Daim yang berpengaruh ialah Long Bahar yang pernah menjadi Sultan Pattani (1716-1716M) dan Sultan Kelantan (1721-1734M). Cucunda Long Bahar membentuk Dinasti Long Yunus di Kelantan pada 1756M. Salah seorang cucunda Long Yunus ialah Tuan Besar (Long Ahmad), anak Long Ismail, Raja Kampung Laut. Tuan Besar diangkat oleh Siam sebagai Sultan Pattani pada 1842M dan keturunan baginda memerintah sehingga 1902M dengan Sultan Abdul Kadir Kamaruddin yang dipecat oleh Siam sebagai Sultan terakhir.

Kesultanan Pattani: Isu-isu yang membelenggu

Kebangkitan Pattani sebagai kuasa politik Islam di Nusantara mulai akhir abad ke-15M merupakan antara kuasa politik Islam yang paling lama bertahan. Ia bertahan dari 1457M sehingga runtuh seluruh kekuasaannya pada 1902M, lebih lama daripada Kerajaan Aceh Darussalam (1496-1903M). Namun begitu, Pattani yang begitu gah namanya terpaksa berhadapan dengan beberapa belenggu yang bersifat dalaman dan luaran yang memberi kesan buruk terhadap kerajaannya. Masalah perang saudara dan perebutan takhta di kalangan putera istana telah menjadi punca awalnya. Ia tercetus sejak Dinasti Seri Wangsa lagi di mana Sultan Patik Siam (1572-1573M) yang masih muda telah dibunuh oleh saudara tirinya, Raja Mambang yang memberi kesan terhadap pewarisan takhta dan akhirnya Pattani diperintah oleh Raja-raja perempuan (1584-1649M). Ternyata perang saudara ini menjadi punca berakhirnya Dinasti Seri Wangsa, kerana sepupu Sultan Patik Siam, Sultan Bahadur Shah (1573-1584M) tidak mempunyai putera dan terpaksa mewariskan takhta kepada anak-anak perempuan baginda yang berakhir dengan kehabisan keturunan pada 1649M.

Dinasti Sultan Qanbul telah berkuasa mulai 1650M apabila Raja Sakti (1650-1662M) dari Kelantan memasukkan Pattani di bawah kekuasaan Raja Kelantan dan membentuk Pattani Raya yang memerintah bersama keturunannya sehingga 1688M. Setelah itu, masalah takhta kembali timbul dan terpaksa melantik Raja Bakar iaitu seorang waris Raja yang tertua dan mempunyai hubungan darah dengan Raja Sakti sebagai Raja yang baru, sedangkan Raja Bakar (1688-1690M) juga tidak berputera. Lalu dilantik Raja Mas Kelantan (1690-1707M), puteri Raja Bakar sebagai Raja. Baginda kemudian diganti oleh puterinya dengan Long Bahar, Raja Bendang Badang, bernama Raja Nam Cayam (Dewi Peracu) sebagai Raja Pattani (1707-1715M). Long Bahar, putera Datu Pengkalan Tua, Wan Daim bertindak menggantikan puterinya sebagai Raja Pattani pada 1715M, tetapi melepaskan jawatan tersebut kembali kapada Raja Nam Cayam kerana berpindah ke Kelantan selepas mengahwini Raja Sharifah (Raja Pah) puteri Sultan Jembal, dan mewarisi takhta Raja Jembal (1716-1733M) dari mertuanya di Kelantan selepas kewafatan Raja Sakti bin Sultan Omar. Sedangkan Raja Nam Cayam yang juga tidak mempunyai pewaris telah mangkat pada 1718M.

Ketika putera Long Bahar dengan Raja Mas Kelantan, Long Sulaiman (1735-1756M) dilantik menjadi Sultan dalam Kerajaan Jembal menggantikan ayahandanya, putera Long Bahar dengan Raja Pah, Raja Yunus dirajakan di Pattani pada 1729M menggantikan Sultan Haji Yunus (1721-1729M) yang dilantik sebagai Raja selepas Raja Nam Cayam dan Raja Laksamana Dagang (1718-1721M). Selepas wafatnya Raja Yunus pada 1749M, baginda juga tiada pewaris. Kekalutan masalah pewaris takhta cuba diselesaikan kemudiannya dengan melantik sepupu Sultan Raja Yunus dan Raja Nam Cayam, iaitu Long Nuh bin Long Nik bin Wan Daim, putera Raja Legih sebagai Raja Pattani. Long Nuh (1749-1771M) kemudian digantikan oleh anaknya, Raja Bakar (1771-1774M), sebelum putera Raja Bakar, Raja Ahmad menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Muhammad (1774-1786M). Sultan Muhammad kemudiannya syahid dalam serangan Siam ke atas Pattani pada 1786M.

Kejatuhan Pattani di tangan Siam telah menyebabkan ‘Raja-raja patung’ dilantik untuk menjaga kepentingan Siam. Ia bermula dengan Raja Bendang Badang, (Tengku Lamidin) (1786-1791M) dan Datu Pengkalan (Raja Jaafar) (1791-1808M) sebagai Raja Pattani, tetapi kedua-dua Raja ini bangkit melawan Siam, lalu dilantik Raja kafir dari Chenak, Nai Kwan Sai (1808-1815M) dan anaknya, Nai Phya (1815-1816M) sebagai Raja Pattani dan memecahkan wilayah Pattani kepada tujuh negeri dengan Raja yang berasingan iaitu Pattani (Tuan Sulong), Raman (Tuan Mansur), Nong Chik (Tuan Nik), Yala (Tuan Jalor), Legeh (Nik Dah), Saiburi atau Teluban (Nik Din) dan Jambu (Nai Phya). Tuan Sulong (1816-1832M) adalah putera Long Jenal (cucu Long Bahar), Raja Kelantan (1837-1838M) yang terlibat dalam perebutan takhta dengan Sultan Long Senik Mulut Merah (1838-1886M) di Kelantan pada 1839M. Setelah itu, untuk menamatkan perang saudara di Kelantan ini, Siam melantik pula putera Long Ismail Raja Kampung Laut (adinda Long Jenal), iaitu Long Ahmad (Tuan Besar) sebagai Sultan Pattani bergelar Sultan Muhammad (1842-1856M) menggantikan Nik Yusof (Raja Tokki) (1832-1842M) sebagai Raja Pattani. Sejak itu, keturunan baginda menjadi Sultan sehingga Sultan Abdul Kadir Kamaruddin dipecat oleh Siam pada 6 Mac 1902M dan berakhirlah Kesultanan Pattani (1457-1902M).

Sultan-sultan Pattani Darussalam

Dari pergolakan yang panjang dalam pewarisan takhta Kerajaan Pattani kerana ketiadaan pewaris, perang saudara, serangan Siam dan campur tangan Siam ini, Raja-raja yang terdiri dari beberapa dinasti telah memerintah selama 445 tahun. Kekuasaan Pattani dengan wilayah terbesarnya meliputi kawasan dari Pathalong (Badelung) hingga ke Terengganu dalam Kerajaan Pattani Raya (atau Pattani Besar) hinggalah ia dipecahkan oleh menjadi negeri yang kecil seperti hari ini.

Berikut adalah senarai Raja-raja Pattani Islam:

●      Dinasti Seri Wangsa 

I.     Sultan Ismail Shah atau Sultan Muhammad Shah atau Sultan Ahmad Shah (1457-1530M)

II.     Sultan Muzaffar Shah (1530-1564M)

III.     Sultan Mansur Shah (1564-1572M)

IV.     Sultan Patik Siam (1572-1573M)

V.     Sultan Bahadur Shah (1573-1584M)

VI.     Raja Hijau (1584-1616M)

VII.     Raja Biru (1616-1624M)

VIII.     Raja Unggu (1624-1635M)

IX.     Raja Kuning (1635-1649M)

●     Dinasti Sultan Qanbul

I.     Raja Sakti II (1650-1662M)

II.     Raja Loyor (1662-1663M)

III.     Raja Omar (1663-1670M)

●      Kekosongan Pewaris

Sesetengah pengkaji mengatakan Pattani tidak mempunyai Raja antara 1670-1688M, tetapi ada pengkaji yang lain mengatakan ia kekal di bawah kekuasaan Kerajaan Jembal, Kelantan sehingga Raja Bakar dilantik Raja Pattani pada 1688M. Raja-raja Pattani ketika ini (1688-1832M) ialah:

I.     Raja Bakar (1688-1690M)

II.     Raja Mas Kelantan (1690-1707M)

III.     Raja Nam Cayam (1707-1715M dan 1716-1718M)

IV.     Long Bahar (1715-1716M)

V.     Raja Laksamana Dagang (1718-1721M) 

VI.     Sultan Haji Yunus (1721-1729M)

VII.     Raja Yunus (1729-1749M)

VIII.     Raja Long Nuh (1749-1771M)

IX.     Raja Bakar (1771-1774M)

X.     Sultan Muhammad (1774-1786M)

●    Raja-raja Patung

I.     Tengku Lamidin Raja Bendang Badang (1786-1791M)

II.     Raja Jaafar Datu Pengkalan (1792-1808M)

III.     Nai Kwan Sai Raja Chenak (1808-1815M)

IV.     Nai Phya (1815-1816M)

V.     Tuan Sulung (1816-1832M)

VI.     Nik Yusof (Raja Tokki) (1832-1842M)

●   Dinasti Tuan Besar

I.     Sultan Muhammad (Tuan Besar) (1842-1856M)

II.     Sultan Puteh (1856-1881M)

III.     Sultan Timun (1881-1890M)

IV.     Sultan Sulaiman (1890-1899M)

V.     Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (1899-1902M)

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 7/1/2019