Kereta nasional ketiga, pembaziran duit rakyat

MENTERI Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, mengumumkan bahawa kementerian memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga. Prototaip itu dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019.

Advertisement

Untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia, kita sudah memiliki kereta nasional pertama dan kedua yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan prestasi yang baik.

shahir adnanDewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendapat bahawa projek “Kereta Nasional Ketiga” ini merupakan satu pembaziran di waktu ekonomi negara dikatakan berada dalam keadaan banyak hutang. Berdasarkan laporan media, jawatankuasa dibentuk melalui Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Projek Kereta Nasional Baru pada 12 Oktober dan 12 Disember tahun lalu.

Kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pengangkutan turut terlibat dalam projek ini. Jelas sekali, banyak masa, tenaga dan wang ringgit sudah dihabiskan untuk permulaan kepada projek ini.

Walaupun diberitakan bahawa projek ini akan menggunakan dana vendor-vendor yang berminat untuk membangunkan projek ini, tetapi suntikan dana sebanyak RM20 juta adalah satu jumlah yang cukup besar.

RM20 juta sebenarnya boleh digunakan untuk Bantuan Sara Hidup RM1,200 kepada hampir 17,000 rakyat Malaysia. RM20 juta ini juga boleh digunakan sebagai bantuan voucher buku RM100 kepada 200,000 anak-anak kita yang bersekolah. RM20 juta ini boleh digunakan untuk membina 100 gelanggang futsal kepada anak-anak muda di kawasan bandar dan luar bandar.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius bahawa subsidi petani, pekebun kecil dan nelayan dikurangkan atau dihapuskan dalam Belanjawan 2019. RM20 juta ini boleh disalurkan kepada 40,000 petani, pekebun kecil dan nelayan, jika diberi bantuan RM500 seorang.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia beranggapan bahawa YB Menteri sebenarnya akur kepada citarasa Perdana Menteri yang ingin melihat projek kereta nasional ketiga dilaksanakan walaupun itu bukan citarasa rakyat Malaysia.

Persoalannya sekarang, pihak manakah yang akan diberikan geran RM20 juta ini? Jika vendor luar ingin melaksanakan projek ini, apakah ini dilihat seperti menjual aset Malaysia, seperti yang dicanang oleh Tun Mahathir sendiri sebelum PRU14 sewaktu Proton bekerjasama dengan Geely, China?

Akhir sekali, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin mencadangkan kerajaan agar menyalurkan dana seperti ini untuk membangunkan projek pengangkutan awam yang membawa lebih manfaat kepada majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat perlukan pengangkutan awam yang lebih integrasi dan efektif, bukan satu lagi projek kereta nasional yang hanya memberi manfaat kepada sekelompok kecik rakyat Malaysia.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
8 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 8/1/2019