Ustaz Zawawi: PAS dominasi politik negeri

(Teks ini adalah dari temubual khas bersama Almarhum Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan semasa hayatnya selaku pemimpin di Perak. Selain pandangan, beliau juga membayangkan gagasan, perhatian dan keprihatinan PAS dan dirinya kepada agama, negeri dan rakyat. Sempena belasungkawanya, ikuti semula perkara pernah dikemukakan almarhum)

Advertisement

TIGA isu kritikal dihadapkan Umno terhadap PAS di Perak iaitu PAS dikatakan boneka DAP, akan menyebabkan agama Kristian berkembang dan jawatan Perdana Menteri akan dapat kepada orang Cina.

Isu ini dimainkan secara konsisten oleh Umno di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang PAS bertanding dengan gambaran bahawa agama, bangsa dan negara akan tergadai di bawah teraju PAS.

Sedangkan ketika tidak bersama DAP pada pilihan raya tahun 2008, PAS dapat mencapai kejayaan luar jangka termasuk memenangi Dun Pasir panjang dan Lubuk Merbau, demikian menurut Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan.

Kesannya ujar beliau, dilihat pada pilihan raya tahun 2013 apabila PAS kehilangan undi Melayu sebanyak 2 peratus dan kebanyakan Dun PAS tandingi menerima kekalahan majoriti bawah 500 undi, walaupun PAS menerima peningkatan undi kaum Tionghua sebanyak 4 peratus.

“Jadi apa yang berlaku hari ini (putus hubungan dengan DAP) terbaik untuk PAS sebenarnya dan memang BN berjaya memanipulasi tiga isu itu. Ini yang dimainkan walaupun benda tak betul.

“Jadi bila kita buat keputusan terbaru ini, kita dapat reaksi yang baik dari rakyat dan mematahkan hujah daripada kalangan musuh kita Umno-BN. Dia tak ada hujah apa lagi, sedangkan kita boleh guna pulak kelemahan yang dilakukan oleh mereka,” jelasnya.

Kini katanya, Umno-BN sudah tidak ada isu hendak palitkan kepada PAS dan hanya memainkan isu Negara Islam dan hudud, sedangkan PAS mempunyai kekuatan menjawabnya, sekali gus memberi peluang kepada PAS untuk kembali meraih sokongan teras.

BN gagal bangunkan Perak

Kerajaan BN Perak ujar Ustaz Zawawi, gagal membangunkan negeri ini yang mempunyai kawasan pertanian sangat luas untuk manfaat rakyatnya khususnya golongan petani itu sendiri.

Perak katanya, merupakan kawasan padi, sawit dan getah yang dibangga-banggakan hasil pengeluarannya, tetapi tidak juga mengubah taraf hidup para petaninya.

Menurutnya, kebanyakan petani ini hidup susah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kemiskinan dalam keadaan suasana negeri yang dikatakan pengeluaran hasil pertanian, rakyat dia miskin. Sepatutnya kerajaan mestilah membangunkan hasil pertanian ini dan menguruskannya sebaik mungkin supaya memajukan rakyat.

“Kita tak mahu negeri ini maju gah di depan mata rakyat, negeri kedua pengeluar hasil pertanian, tetapi rakyat miskin. Jadi tak maju juga,” tempelaknya.

Begitu juga katanya, berkait isu Tanah Rizab Melayu, beliau selaku Adun telah kemukakan soalan bertulis dan lisan di dalam Sidang Dun Perak, namun tidak pernah berjawab kerana dipercayai isu itu tidak selesai di semua daerah seluruh Perak.

Hatta menurutnya, tanah pertanian padi yang terletak di bawah Akta Keselamatan Makanan dan Negara, apabila diambil untuk pembangunan seperti perumahan dan akuakultur untuk ternakan ikan arowana, walaupun tidak diluluskan, projek sudah berjalan.

Kesannya ujar beliau, dua kerugian diperolehi iaitu tidak mendapat bayaran premium dan tidak digantikan tanah seluas yang diambil.

“Inilah bahayanya Umno, perkara paling besar berkaitan masalah tanah. Sebab kita bila bincang bab pemerintahan sebuah negara atau negeri, dia ada kerajaan, ada rakyat, ada tanah. Kalau tanah habis jual, kalau ada kerajaan pun rakyat nak duk di mana?” persoalnya.

Terangnya lagi, begitu juga dengan isu pemilikan tanah di mana berlaku banyak tanah diusahakan rakyat dan apabila pemohon yang miskin gagal membayar premium, akhirnya geran tanah tersebut dapat kepada pihak lain.

Selain gagal mempertahankan Tanah Rizab Melayu katanya, kerajaan juga gagal mendidik orang Melayu-Islam untuk menjaga kepentingan tanah pusakanya hingga tergadai kepada pihak lain yang akhirnya menyebabkan bangsa ini tidak memiliki kediaman sendiri walaupun rumah mampu milik.

Jelasnya, tanpa tanah bermakna tidak wujud pemilikan dan pengembangan ekonomi, sekali gus membuktikan Dasar Ekonomi Baru yang memperuntukkan 30 peratus ekuiti untuk Bumiputera dilaungkan Umno hanya omong kosong.

Umno-BN juga bidas Ustaz Zawawi, gagal mengurus tadbir dengan baik misalnya pembinaan kuarters-kuarters guru, peladang, pertanian dan lain-lain.

Terangnya, kerajaan hanya tahu membina tetapi gagal menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan menyebabkan ia tidak selesa dihuni.

Pertikainya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana wang untuk pengurusan berkenaan wujud dari potongan gaji kakitangan terbabit.

“Maksudnya duit pengurusan tu ada, rumah tu dia nak rosak 5 tahun sekali bukan kerajaan kita tak ada duit. Tapi duit tu ke mana? Kalau dia tak mahu, pekerja tu kurang-kurang dia boleh sewa pada orang lain, buka bangunan tu dimanfaatkan.

“Ini masalah kediaman rakyat, tanah bukan tak ada, ada tapi tak diselenggara. Banyak Kuarters JPS, Jabatan Pertanian, Peladang, Guru yang jadi macam tu,” luahnya kesal serta mengingatkan bahawa majoriti kaki tangan kerajaan itu adalah kaum Melayu.

Lebih mendukacitakan katanya, keadaan tersebut membibitkan pula masalah sosial lain misalnya tekanan dan bebanan kepada kakitangan untuk menyewa di tempat lain, kuarters terbiar menjadi sarang penagihan dan kegiatan tidak bermoral, serta pelbagai kesan berantai lain.

Masalah kediaman seumpama itu juga bongkar Ustaz Zawawi, berlaku pada rumah-rumah yang dibina untuk para penghulu di negeri itu.

Jelas beliau, hakikat sebenar pembinaan kuarters dan rumah sedemikian hanyalah untuk kepentingan kroni iaitu dengan memberi projek, tetapi manfaatnya untuk rakyat tidak jelas.

Mentaliti projek untuk kepentingan kroni itu juga katanya, berlaku pada projek-projek lain seperti penyelenggaraan jalan raya.

DAP bukan Cina

Ustaz Zawawi menyangkal sinonim mengaitkan apabila PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP bermakna juga putus hubungan dengan masyarakat kaum Tionghua, sekali gus tidak mungkin mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Pertamanya tegas beliau, bukan PAS punca putusnya hubungan itu, sedangkan DAP sejak zaman Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor lagi telah bertindak meninggalkan Barisan Alternatif.

Begitu juga katanya, DAP Sarawak bertindak memutuskan hubungan dengan PAS dan DAPSY Perak pula memutuskan hubungan dengan Pemuda PAS Perak, manakala DAP Pusat memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, tetapi mahu bersama PAS.

“Kalau budaya kita pun kita tak leh nak terima, sebab apa? Dia nak kahwin dengan anak, tapi tak mahu bapak, mana boleh. Nak kahwin dengan anak, nak duduk dengan anak, nak ambil anak, tapi dengan pak nak tolak, orang tak leh terima yang tu, ini adalah satu benda yang songsang,” ujarnya ketawa.

Hakikatnya menurut beliau, masyarakat Cina masih menerima PAS dan perkara itu dibuktikan dengan penyertaan bekas Adun DAP Bercham, Sum Cheok Leng dan kehadiran pada sambutan-sambutan yang diadakan PAS untuk kaum tersebut.

Begitu juga terangnya, pimpinan dan Adun PAS Perak juga terus mendekati budaya masyarakat kaum Tionghua serta memberi perkhidmatan menurut keperluan.

Jelasnya, masyarakat Tionghua juga sebenarnya ramai yang hidup kais pagi makan pagi, tetapi mereka gigih bekerja dan menjaga kesatuan sesama mereka.

Begitu juga katanya, kebimbangan masyarakat Tionghua terhadap hudud sudah semakin sirna hasil penerangan berterusan dilakukan PAS, selain salah faham lain berkenaan ajaran Islam.

Agenda kebajikan, masyarakat

Terang Ustaz Zawawi, PAS Perak akan meneruskan agenda memasyarakatkan PAS hingga berjaya mewujudkan Perak sebagai Negeri Berkebajikan.

Jelasnya, pelbagai perancangan untuk kepentingan rakyat akan dilaksanakan seperti pemberian air percuma, membiayai pendidikan, hubungan mesra rakyat dan meningkatkan ekonomi dengan hasil bumi yang banyak di Perak.

Hingga akhirnya ujar beliau, direalisasikan hasrat “Membina Malaysia Sejahtera” sebagaimana tema Kongres Rakyat di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, PAS Perak menyedari negeri itu sebagai kawasan pertanian dan rakyatnya ramai berstatus susah, dengan purata pendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

Paling merosakkan ekonomi rakyat katanya, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah melanggar kaedah Islam.

“GST ini bermakna mengambil harta rakyat terutama yang Islam. Islam ditindas dua kali, satu zakat, satu cukai. Sedangkan dalam Islam cukai hanya pada bukan Islam. Islam sudah ada zakat.

“Di mana dia berusaha, di situ sudah dikenakan zakat, inilah maksud ekonomi dalam Islam ia tidak akan melebihi dari orang lain, ia akan mensejahterakan,” terangnya.

Beliau menghuraikan putaran impak GST ke atas sosio-ekonomi rakyat hingga akhirnya akan menggugat kestabilan institusi zakat, sekali gus menimbulkan putaran masalah lebih besar kepada negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 8/1/2019