Kerajaan T’ganu, rakyat harap royalti

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menaruh harapan tinggi kepada Kerajaan Persekutuan agar baki pembayaran royalti negeri yang tertangguh itu dapat diselesaikan segera.

Advertisement

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, harapan bagi mendapatkan bayaran royalti itu bukan sahaja kerajaan negeri tetapi rakyat seluruhnya.

“Kita menaruh harapan yang sangat tinggi supaya segala pembayaran yang masih tertangguh dapat diteruskan. Walaupun berkait dengan pembayaran tahun lepas (2018) tetapi bayaran boleh dibuat tahun ini.

“Jadi harapan kita sangat tinggi bukan sahaja kerajaan negeri tetapi seluruh rakyat Terengganu,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ketika ditanya pemberita, adakah kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya sedang menunggu pendetailan.

“Ada dibincangkan dan kita sedang menunggu pendetailannya. Jika ada makluman bilakah bayaran itu akan dibuat, kita akan maklumlah.

“Kita harap dalam masa terdekat bulan Januari ini, benda (perkara) itu dapat diselesaikan,” tegasnya.

Menurutnya, hubungan semasa kerajaan negeri dengan Persekutuan hari ini cukup baik dan tiada masalah. – HARAKAHDAILY 9/1/2019