Padi angin bebani petani di Perlis

ARAU: Selepas berdepan masalah pemotongan mutu padi agak banyak oleh pengilang, kini pesawah berdepan pula masalah padi angin.

Advertisement

Padi angin menyebabkan padi mudah relai dan akan gugur sebelum sempat dituai.

Masalah itu menyebabkan petani terpaksa berputeh mata menanggung kerugian kerana hasil yang diperolehi berkurangan.

Seorang petani di Kampung Sungai Padang, Mohd Bun Man 66, berkata penyakit padi angin menghantui petani di Perlis kerana ia menjejaskan hasil pendapatan dan sekaligus merugikan industri padi negara.

“Padi angin yang tumbuh dalam sawah boleh mengurangkan hasil tanaman padi. Kadang-kadang bukan setakat kurang malah tidak mendapat hasil lansung.

“Ada petani yang mengusahakan padi lima atau enam relung hanya memperolehi satu tan sahaja hasil padi,” katanya di sini.

Menurutnya masalah itu dikenal pasti berpunca benih yang diedarkan kepada petani oleh Jabatan Pertanian.

Seorang lagi petani Rokiah Ngah, 62 juga memberitahu masalah padi angin tidak boleh diatasi dengan racun atau baja. – HARAKAHDAILY 9/1/2019